Bekas Penjaga Gol Sunderland, Man City Meninggal Dunia Pada Usia 32 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2015 9:33 PM

(Ubah saiz teks)

BEKAS penjaga gol Sunderland dan Manchester City, Marton Fulop meninggal dunia pada usia 32 tahun selepas menderita akibat penyakit kanser.

Fulop, yang beraksi untuk sembilan kelab Inggeris selepas berpindah dari MTK Hungaria ke Tottenham pada tahun 2004, telah menjalani rawatan kanser di lengannya pada Jun 2013.

"Saya pasti selepas beberapa bulan lagi, saya sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk kembali beraksi," katanya selepas menjalani pembedahan kanser pada tahun 2013, namun sebaliknya berlaku.

Pada Februari 2014, Fulop diberi peluang beraksi pada saingan akhir Piala Liga di antara Sunderland dan Manchester City dan sekali lagi berharap dia boleh meneruskan kariernya.

Namun, selepas menderita akibat penyakitnya itu, Fulop yang mencatat 24 kap antarabangsa menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.

"Selepas penderitaan panjang, Marton Fulop meninggal dunia dan kami semua diselubungi kesedihan di atas kehilangannya," jelas kenyataan MTK di laman rasmi kelab itu.

Sebagai rekod, Fulop mencatat 50 penampilan bersama Sunderland sebelum berpindah secara pinjaman ke Leicester City dan selepas itu ke Manchester City pada musim 2009-10.

Selepas itu, Fulop menyertai Ipswich Town serta menghabis semusim bersama West Brom sebelum mengakhiri kariernya di  kelab Greek, Asteras.

Tags / Kata Kunci: Marton Fulop , kanser , meninggal dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan