United Atasi West Bromwich, Rapatkan Jurang Mata Dengan City

Diterbitkan: Ahad, 8 November 2015 7:09 AM

Mata meraikan gol jaringannya bersama dengan Lingard (kanan).

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER: Manchester United kini hanya ketinggalan satu mata kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City selepas menewaskan West Bromwich Albion, 2-0 di Old Trafford, awal pagi Ahad.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Louis van Gaal mengutip 24 mata ketinggalan satu mata yang dimiliki City, Arsenal dan Leicester City. 

United dan West Brom gagal menemui penyudah berbisa untuk memecah kebuntuan pada babak pertama.

Namun, tuan rumah menjaringkan gol awal pada minit ke-52 menerusi Jesse Lingard.

Ia juga jaringan pertamanya dalam skuad kesebelasan utama United.

Pemain gantian West Brom, Saido Berahino mendapat peluang terbaik pada minit ke-76, namun tandukannya terkena palang.

Tuah ternyata berpihak kepada United apabila Anthony Martial dihadiahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Gareth McAuley pada minit akhir perlawanan.

Akibatnya, pertahanan West Brom itu kemudian dibuang padang.

Juan Mata menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk memberi kemenangan 2-0 kepada United pada minit ke-91.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan