Kim Swee Gantikan Enam Pemain Sebelum Berlepas Ke Jordon

Diterbitkan: Jumaat, 6 November 2015 6:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan enam pemain sebelum berlepas ke Amman, Jordan malam ini bagi aksi menentang Palestin pada Khamis depan.

Kim Swee terpaksa melakukan perubahan minit terakhir berikutan kecederaan beberapa tonggak utama, khasnya di bahagian pertahanan dan tengah bagi mengharungi perlawanan timbal balik menentang Palestin, selepas tewas 0-6 di Stadium Bukit Jalil Jun lepas.

Pemain yang digugurkan daripada skuad kebangsaan untuk perlawanan keenam kempen Kelayakan Piala 2018/Piala Asia 2019 ialah pemain pertahanan Terengganu Zubir Azmi dan Pahang Mohd Hafiz Kamal selain dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Gary Steven Robbat dan S. Kunanlan yang mengalami kecederaan.

"Manakala Baddrol Bakhtiar (Kedah) melangsungkan perkahwinan dan Mohammad Azamuddin Akil menyambut kelahiran anak. Bagi mengisi kekosongan berkenaan, Kim Swee telah memanggil enam pemain dari senarai menunggu sebelum ini ke dalam senarai terbaharu 23 pemain yang akan berlepas ke Jordan 11 malam ini.

"Mereka ialah Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B), Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan Fazly Mazlan (JDT)," kata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan, Jumaat.

Baddrol, Azammuddin dan Kunanlan bersama-sama baki lima lagi pemain dari senarai menunggu iaitu Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Badrul Hisham Morris (T-Team), Farhan Abu Bakar (Harimau Muda B) dan Nazrin Nawi dan Mahali Jasuli (JDT) bagaimanapun diminta bersedia untuk dipanggil semula ke skuad kebangsaan selepas tiba dari Jordan pada Jumaat depan.

Sementara itu, penyerang Mohd Safee Sali yang digantung satu perlawanan kerana menggutip dua kad kuning turut diminta untuk melaporkan diri kem latihan skuad kebangsaan pada Jumaat depan.

"Ia sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan menggantikan mana-mana pemain yang cedera atau digantung perlawanan selepas aksi bertemu Palestin kerana skuad kebangsaan selepas ini akan berdepan pula Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk perlawanan ketujuh kempen kelayakan," menerut kenyataan itu.

Aksi menentang Palestin yang dijadualkan berlangsung di Stadium Dura, Hebron di Palestin telah dipindah ke Stadium King Hussein Sports City, Jordan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerima rayuan FAM untuk memindahkan venue perlawanan berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu di Tebing Barat negara itu.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi ujian getir menentang UAE pada 17 November di Stadium Shah Alam, selepas mencatatkan kekalahan 0-10 di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi pada aksi pertama awal September.

Senarai 23 pemain: Ahmad Hazwan Bakri, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Christie Jayaseelan, Shahrul Saad, Adam Sor Azlin, Nazirul Naim Che Hashim, Syahrul Azwari Ibrahim, Ismail Faruqi Ashari, Redzuan Suhaidi, Ronny Harun, Khairul Fahmi Che Mat, Amirizdwan Taj Tajuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor, Ahmad Fakri Saarani, Khairulazhan Khalid, Razman Roslan, Matthew Davies, Izham Tarmizi Roslan, S.Chanthuru, Aidil Zafuan Abd Radzak, Safiq Rahim, Amri Yahyah, Fazly Mazlan. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Harimau Malaya , Ong Kim Swee , Jordon

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan