Liverpool Pecat Brendan Rodgers Serta-Merta - Bola Sepak | mStar

Liverpool Pecat Brendan Rodgers Serta-Merta

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2015 2:25 AM

(Ubah saiz teks)

BRENDAN Rodgers dipecat serta-merta sebagai pengurus Liverpool selepas aksi seri 1-1 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris Ahad malam.


Sebaik sahaja perlawanan tamat, Rodger mengakui tiada sebarang drama di Anfield dan dia berada dalam situasi ‘selamat’, namun sebaliknya berlaku beberapa jam selepas itu dengan berita mengejutkan dari pemilik kelab.

“Kelab Bola Sepak Liverpool mengumumkan bahawa Brendan Rodgers akan meninggalkan posisinya serta-merta sebaik sahaja kontraknya ditamatkan,” jelas kenyataan di laman web Liverpool awal pagi Isnin.

“Proses mencari pengurus baharu sedang berjalan,” tambah kenyataan tersebut.

Rodgers yang menyertai Liverpool pada tahun 2012, hampir membawa skuad ini menjuarai liga pada tahun 2014.

Bagaimanapun keadaan itu berubah selepas menjual Luis Suarez apabila berdepan dengan situasi sukar mencatat kemenangan.

Pengumuman mengejutkan ini dibuat selepas lima bulan pemilik Fenway Sports Group memberi jaminan untuk menyokong Rodgers sebaik sahaja kempen 2014-15 berakhir.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada Brendan Rodgers di atas usaha gigih dan komitmennya sepanjang berada di kelab ini,” jelas satu kenyataan bersama pemilik John Henry, pengerusi Tom Werner dan presiden Mike Gordon di laman web Liverpool.

“Walaupun keputusan ini sukar dibuat, kami percaya ia boleh memberi peluang yang lebih baik demi kejayaan di padang.

“Impian dan kemenangan sentiasa dihati kami dan percaya perubahan ini bakal memberi peluang yang lebih baik”.


Rekod Rodgers di Liverpool:

Perlawanan: 165

Menang: 83

Seri : 40

Kalah: 42 

Tags / Kata Kunci: Brendan Rodgers , Liverpool , Dipecat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan