Jangan Cetus Kekecohan Semasa Perlawanan Piala Malaysia - Polis

Diterbitkan: Jumaat, 2 Oktober 2015 2:44 PM

Sum Chang Keong

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis pada Jumaat memberi amaran kepada penyokong pasukan bola sepak agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan atau provokasi sepanjang perlawanan Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Perak, Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata pihaknya ada menerima maklumat yang mengatakan akan berlaku kekecohan semasa perlawanan tersebut dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang terlibat.

Beliau turut mengingatkan penyokong agar tidak membawa gendang, barang larangan seperti mercun, senjata tajam dan topi keledar yang boleh mencetuskan kekecohan dalam stadium.

"Kami akan melakukan pemeriksaan rapi di pintu masuk dan tempat meletak kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini Jumaat.

Sum berkata, bagi memastikan perlawanan tersebut berjalan lancar, beliau akan menempatkan anggota polis di luar dan di dalam stadium bagi mengawal keselamatan.

Pada perlawanan Ahad ini, seramai 500 orang penyokong dari Johor dijangka akan menonton perlawanan tersebut.

Sebelum ini beberapa kejadian kekecohan pernah berlaku semasa perlawanan bola sepak antara Perak dan Johor DT di sini, dan di Johor, pada Ogos lepas.

Sementara itu, seorang warga emas kerugian lebih RM70,000 selepas rumahnya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu baseball di rumahnya di Taman Kim Mee, di sini, semalam.

Sum berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 71 tahun telah didatangi dua lelaki dan melarikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi, barang kemas, telefon bimbit dan kad kredit.

Bagaimanapun, keretanya telah ditemui di sebuah padang permainan kira-kira 200 meter daripada rumahnya pada pukul 5.30 petang, semalam, katanya.

Polis sedang mengesan kedua-dua lelaki berumur 20 dan 30 tahun serta meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi polis di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan.
Tags / Kata Kunci: Piala Malaysia , Sum Chang Keong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan