Piala Malaysia: Kedah Menang Besar, Kelantan Sekadar Seri Dengan FELDA

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2015 11:34 PM

Sandro Da Silva (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Malaysia di antara Kedah menentang Terengganu di Stadium Darul Aman malam Jumaat. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedah menepati ramalan awal apabila melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Terengganu pada aksi kedua Piala Malaysia 2015, malam Jumaat.

Pemain import, Sandro da Silva muncul wira Kedah apabila menjaringkan hatrik pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu.

Dengan kemenangan itu, Kedah menghuni tangga teratas Kumpulan A.

Selepas membuka jaringan pada minit ke-51, Silva meledak gol keduanya pada minit ke-65 menerusi penalti diikuti hatrik pada minit ke-81.

Sementara itu, Farhan Roslan meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-72 dengan Alif Fadhil Ismail melengkapkan jaringan pada minit ke-85.

Selepas dibolosi tiga gol pada babak kedua, tekanan ke atas Terengganu bertambah menyaksikan Nor Shahrul Idlan Talaha dibuang padang kerana mengasari pemain Kedah, Osman Yusof pada minit ke-75.

Pada perlawanan pertama menentang Lions XII minggu lalu, Kedah diikat 1-1 di laman lawan manakala Terengganu turut mencatat keputusan seri bertemu Johor Darul Ta'zim II.

Dalam aksi Kumpulan C, Kelantan sekadar terikat seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Sultan Mohammad ke-IV.

Kelantan berjaya mendahului menerusi jaringan Gilmar pada minit ke-48.

Namun, FELDA bangkit menyamakan kedudukan menerusi Syamim Yahya pada minit ke-62.

FELDA menduduki tangga teratas Kumpulan C manakala Kelantan di tempat kedua.

Tags / Kata Kunci: Piala Malaysia , Kedah , FELDA United

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan