Penonton Gugat Peluang Harimau Malaya, Cemar Maruah Negara

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 12:45 AM

Ultras Malaya membuat kekecohan dengan membaling suar ketika perlawanan bolasepak Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam pada Selasa malam. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tatkala pemain Harimau Malaya berusaha keras mencari gol penyamaan dengan prestasi terbaik mereka menentang Arab Saudi, penonton pula mencemar kerancakan apabila membuat onar di Stadium Shah Alam, pada Selasa malam.

Pada perlawanan keempat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia  2019, Malaysia ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi sebelum perlawanan terpaksa dihentikan selama 30 minit.

Tindakan segelintir penonton melontar masuk suar, bom asap dan mercun roket  ketika perlawanan berbaki dua minit, sememangnya mengundang masalah besar kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sepatutnya mereka sebagai penyokong memberi peluang kepada pemain untuk mencuba sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan.

"Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku ketika pemain memberikan 200 peratus komitmen kepada perlawanan ini. Kemungkinan kita ada peluang untuk menyamakan kedudukan," kata pengulas bola sepak, Richard Scully, dalam siaran langsung Astro Arena.

Tindakan mereka boleh mengundang tindakan tatatertib ke atas FAM sekiranya Arab Saudi mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut jurucakap FAM, perlawanan Malaysia-Arab Saudi itu terpaksa  ditangguhkan sehingga FIFA mengeluarkan kenyataan.

Untuk rekod, AFC pernah mengenakan denda RM18,000 ke atas FAM pada 2009 selepas penyokong Kedah membakar mercun ketika sesi latihan kelab Muharraq dari Bahrain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi aksi suku akhir kedua Piala AFC.

Bagi perlawanan malam ini, pujian perlu diberikan kepada barisan pemain  pilihan pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Selepas tewas 10-0 ketika bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE),  pemain negara berjaya mengekang asakan Arab Saudi dan mengikat pasukan yang dibimbing Bert Van Marwyk, 0-0 pada separuh masa pertama.

Dengan formasi 4-3-3, corak permainan skuad Harimau Malaya berubah wajah malam ini dengan menyaksikan rangkaian pemain melaksanakan tugas dengan baik sehingga berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-70 sebelum dibolosi dua kali dalam tempoh lima minit kemudian.

Tags / Kata Kunci: Ultras Malaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan