Khairy Kecewa Tindakan Liar Penonton - Bola Sepak | mStar

Khairy Kecewa Tindakan Liar Penonton

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 12:39 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kesal dengan tindakan penonton yang bertindak membaling suar ke padang pada perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, pada Selasa malam.

Berikutan tindakan itu, perlawanan keempat skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu terpaksa dihentikan pada minit ke-88 ketika Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1.

Khairy dalam akaun Twitternya berkata beliau menyaksikan sendiri insiden tersebut yang telah memalukan Malaysia.

"Saya ada di stadium malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan stadium gagal.

"FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) gagal mengawal stadium sendiri. (Tindakan) Penyokong membaling suar adalah salah. Kedua-duanya bersalah malam ini," tulisnya dalam akaun Twitternya.

Permainan terpaksa dihentikan selama 30 minit sehingga urusetia perlawanan mengumumkan sama ada meneruskan aksi atau sebaliknya.

Sementara itu, seorang penyokong Malaysia, Abdul Aziz Jaafar, 45 tahun berkata beliau kecewa dengan tindakan liar penonton yang telah mengakibatkan perlawanan dihentikan.

Anak jati Shah Alam itu berkata pihak keselamatan termasuk FAM sewajarnya lebih peka mengenai isu keselamatan terutama apabila perlawanan diadakan di  stadium.

"Keadaan tadi sangat bahaya sebab ada balingan suar dan mercun roket yang tersasar ke arah penonton lain, termasuk penyokong Malaysia dan pelawat.

"Ini boleh membahayakan keselamatan mereka yang tidak terlibat. Lebih mengecewakan anggota keselamatan yang bertugas gagal mengawal keadaan tersebut sehingga berlarutan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Khairy Jamaluddin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan