PPBN: Skuad B-13 Negara Cabar Kelab Remaja EPL

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 9:00 AM

Teong Kim memantau pemain-pemainnya ketika siri Jelajah Eropah baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bakal diterbangkan Manchester sempena Jelajah United Kingdom bermula 12 September ini.

Skuad muda yang menjadi tumpuan selepas kejayaan mereka melakar gelaran juara Piala Iber B-13 Tahun di Sepanyol dalam misi Jelajah Eropah Julai lalu sekali lagi diberi pendedahan di luar negara.

Pengarah Program PPBN, Lim Teong Kim berkata, pemain-pemain dilihat menunjukkan corak permainan lebih matang dan berada dalam kondisi yang memuaskan.

"Pemain-pemain menunjukkan peningkatan selepas pulang daripada Jelajah Eropah baru-baru ini, terutama dari segi kelajuan, ketahanan serta karektor pemain.

"Mereka menggunakan peluang di sana sebaik mungkin dan turut sama membangunkan kemahiran dalam diri sendiri khasnya.

"Pasukan muda ini sekali lagi akan mengisi program yang dirancang PPBN di UK lebih kurang sepuluh hari," jelasnya kepada mStar Online.

Menurut Teong Kim, seramai 16 pemain diiringi Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) bagi program kali ini.

"Beberapa pemain yang tidak menunjukkan persembahan terbaik ketika Jelajah Eropah baru-baru ini terpaksa diketepikan dan meneruskan latihan seperti biasa pusat latihan masing-masing.

"Manakala tempat mereka digantikan dengan beberapa pelatih lain yang menunjukkan komitmen memuaskan ketika sesi latihan di pusat latihan PPBN iaitu seorang pemain dari Sekolah Sukan Mahkota Ismail (SSTMI) dan dua orang dari Sekolah Sukan Gambang.

"Bukan semua pemain yang berada dalam skuad ini hanya dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sahaja. Mana-mana pemain yang menonjol ketika latihan di pusat latihan negeri, mereka akan diberi peluang menambah ilmu di luar negara.

"Dan seramai 10 orang ketua jurulatih negeri akan bersama skuad muda ini di London. 

"Lebih bertuah, empat daripada jurulatih tersebut akan tinggal Pusat Latihan Queens Park Rangers (QPR) beberapa hari  bagi mengikuti program ilmu kejurulatihan bersama kelab itu seperti yang dilakukan tahun lalu," jelasnya mengenai program Jelajah London itu.

Skuad B-13 ini dijangka akan menghadapi beberapa pasukan remaja dari kelab Liga Perdana Inggeris, Divisyen 1 dan Divisyen 2.

Tags / Kata Kunci: PPBN , B-13 , Lim Teong Kim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan