KAFA Jamin Isu Bayaran Gaji Pemain Disegerakan - Annuar

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 11:01 PM

Annuar Musa.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi jaminan kepada semua pemain The Red Warriors bahawa bayaran gaji mereka yang tertangguh akan dijelaskan dengan kadar segera.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata dalam masa yang sama para pemain perlu memberikan tumpuan untuk menghadapi cabaran Piala Malaysia dan menunjukkan prestasi yang baik.

"Dalam tempoh dua minggu lagi gaji akan masuk dalam akaun mereka (pemain) walaupun bukan kesemua (gaji). Mereka (pemain) juga perlu tunjuk prestasi yang baik pada setiap permainan bagi memberi kesedaran kepada penyokong terhadap peranan mereka dalam membangunkan bola sepak negeri ini," katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan di sini, malam Ahad.

Baru-baru ini, media melaporkan Kafa didakwa gagal menjelaskan gaji untuk bulan Julai dan Ogos lepas kepada semua pemain dan pegawai pasukan The Red Warriors.

Annuar berkata sehingga Ogos lepas, Kafa telah membelanjakan sejumlah RM11.6 juta bagi menguruskan pasukan berkenaan berbanding RM8 juta pada musim lalu.

"Jumlah itu (RM11.6 juta) banyak berbanding kutipan yang kita perolehi daripada tiga sumber iaitu penajaan komersil, penyokong (kutipan tiket) dan sumbangan lain pada musim ini," katanya.

Katanya prestasi pemain yang merudum sehingga meletakkan Kelantan di tangga ke sembilan dalam Liga Super turut memberi kesan untuk mendapatkan penajaan dan sokongan daripada penyokong.

"Dengan itu, hasil perbincangan bersama pihak pengurusan dan pemain hari ini, kita dah putuskan untuk terus bermain dengan bersungguh-sungguh dan sebagai timbal balas pihak pengurusan telah berikrar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi itu dengan kudrat yang ada," katanya

Beliau berkata pihaknya juga telah menulis surat kepada Kerajaan Kelantan untuk memaklumkan masalah kewangan yang dihadapi Kafa supaya mereka dapat membantu.
Tags / Kata Kunci: KAFA , Annuar Musa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan