Dua Gol Memphis Depay Bantu Man United Menang 3-1

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 7:26 AM

Memphis Depay (kanan) membuat jaringan kedua buat Manchester United dalam perlawanan menentang Brugge di Old Trafford, awal pagi Rabu. Foto Reuters

(Ubah saiz teks)

PEMAIN baharu Manchester United, Memphis Depay mencatatkan dua dari tiga jaringan yang memberikan kemenangan 3-1 buat pasukan itu ketika menentang Brugge dalam saingan pra-kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Old Trafford, awal pagi Rabu.

Depay menghasilkan dua gol pertama sebelum Marouane Fellaini menambahkan jaringan yang ketiga.

Bagaimanapun pemain kelahiran Belanda itu mengakui sedikit kecewa kerana tidak menghasilkan hatrik dalam permainan tersebut.

"Saya tentu sahaja gembira kerana mudah meraih gol dan kami menang. Kami mendapatkan banyak peluang.

"Adalah penting untuk menghasilkan gol terakhir, namun saya sedikit kecewa kerana saya gagal menyelesaikan dua peluang terakhir," jelas Depay.

Tambahnya, akhir musim lalu beliau meraih banyak gol dan kemudiannya berhijrah ke kelab besar Manchester United.

Oleh itu kata Depay, beliau seharusnya memainkan peranan dalam mencatatkan jaringan.

"Saya gembira mencatatkan gol di Old Trafford tetapi saya perlu sepatutnya melakukan hatrik," kata pemain yang bernilai £25 juta (RM159.54 juta) itu.

Sementara itu, Pengurus Manchester United, Louis van Gaal kagum dengan dua jaringan pertama yang dicatatkan oleh Depay.

Van Gaal turut mengkagumi dengan hasrat Depay yang mahu membuat lebih jaringan.

"Dia (Depay) tidak pernah berpuas hati dan sukakan sikap itu.

"Anda perlu tahu apa yang anda lakukan tetapi juga apa yang anda boleh lakukan, kemudian mempunyai keinginan untuk melakukan lebih baik lagi, dan itulah Memphis (Depay)," kata Van Gaal.

Tags / Kata Kunci: Memphis Depay , Manchester United

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan