£30 Juta Belum Cukup Untuk Everton Lepaskan John Stones Kepada Chelsea

Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2015 7:58 AM

(Ubah saiz teks)

JUARA bertahan Liga Perdana Inggeris Chelsea yang memulakan kempen musim baru mereka dengan lembab dan diselubungi pelbagai kontroversi serta tekanan kini menerima satu lagi berita buruk apabila bidaan terbaru mereka ke atas pemain pertahanan Everton, John Stone ditolak mentah-mentah tanpa sebarang rundingan.

Chelsea kini dipaksa untuk kembali ke ibu pejabat mereka di London untuk mencari satu harga baru yang difikirkan sesuai untuk menarik perhatian Everton semula.

Bidaan terbaru yang berjumlah £30 juta itu adalah yang ketiga dibentangkan oleh Chelsea kepada Everton dan ditolak begitu sahaja. Dua bidaan Chelsea sebelum ialah adalah dalam sekitar £20 juta dan £26 juta.

Stones adalah pemain kebangsaan England yang baru dan menjadi sasaran utama Jose Mourinho selepas dua perlawanan pembukaan musim mendedahkan dengan begitu jelas sekali kepincangan barisan pertahanan mereka yang rapuh.

Chelsea harus bertindak pantas kerana pintu perpindahan musim ini akan berakhir menjelang 1 September nanti dan pada masa yang sama Stone juga turut diburu oleh kelab-kelab lain.

Difahamkan Everton mahukan bayaran perpindahan sebanyak £40 juta untuk mereka melepaskan pemain muda berbakat dan berpotensi itu.

Everton telah berulang kali menegaskan yang mereka tidak berhasrat untuk melepaskan Stones tetapi Everton akan mendapati sukar untuk menolak tawaran lumayan ke atas pemain mereka yang berusia 21 tahun itu jika Chelsea kembali dengan bidaan yang jauh lebih tinggi.

Bidaan sebanyak £40 juta akan membuatkan sesiapa pun kelabu mata.

Pada masa yang sama Everton juga sedar yang Chelsea sedang kemaruk untuk menyelamatkan benteng mereka yang kelihatan goyang tanpa ada sebarang tambahan pemain baru yang berkaliber.

Ahad lalu, Chelsea tewas 3-0 di tangan naib juara liga musim lalu, Manchester City.

Situasi pertahanan Chelsea kelihatan sangat goyah sehinggakan Mourinho terpaksa membawa keluar kapten mereka, John Terry selepas separuh masa kedua.

Stones menjadi sasaran Chelsea untuk menggantikan John Terry yang bakal dilepaskan pada musim depan selepas kontraknya tamat.

Bukan sahaja prestasi semasa John Terry tidak konsisten malah seorang lagi pemain pertahanan mereka, Branislav Ivanovic, menjadi punca kepada gol ketiga City.

Sehari selepas mereka tewas, Chelsea mengumumkan ketibaan pemain bek kiri Baba Rahman.

Mourinho percaya kemasukan Stones akan mengukuhkan benteng pertahanan yang semakin rapuh itu.

Chelsea masih belum mencatatkan kemenangan musim ini. Mereka tewas di tangan Arsenal dalam perlawanan pembuka tirai musim iaitu Piala Sumbangsih dan kemudian seri 2-2 dengan Swansea City.


Tags / Kata Kunci: Chelsea , Everton

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan