Tolak Panggilan Negara, Nasib Tiga Pemain Selangor Di Tangan FAM

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 10:19 AM

Pemain-pemain Liverpool bersalam dengan pasukan Pilihan Malaysia sebelum aksi persahabatan Jumaat lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menentukan nasib tiga pemain Selangor yang dikatakan enggan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC, Jumaat lepas.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau sudah mendapat laporan daripada pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berhubung perkara berkenaan dan ia sudah dibawa ke pengetahuan jawatankuasa itu untuk siasatan lanjut.

"Saya masih belum mendapat apa-apa maklumat daripada jawatankuasa berkenaan kerana mungkin mereka masih menilai perkara berkenaan. Saya tidak pasti (bila keputusan akan dikeluarkan) tapi kita tunggu daripada Pengerusi (DatukTakiyuddin Hassan) untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata badan induk itu tidak akan mencampuri sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan nanti.

Pengurus pasukan Selangor, Amiruddin Shari sebelum ini dilaporkan bertegas untuk tidak melepaskan Mohd Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import dari Australia, Robert Cornwaithe untuk sesi latihan pusat bagi aksi persabahatan menentang Liverpool FC.

Beliau mendakwa perlawanan berkenaan tidak membawa sebarang faedah kepada skuad Harimau Malaya kerana ia bukan perlawanan yang membawa mata kepada ranking Malaysia dalam kedudukan ranking FIFA.

Skuad Pilihan Malaysia seri 1-1 menentang Liverpool FC pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Julai lepas.

Mengikut peraturan FAS didenda tidak melebihi RM50,000 atau tiga mata maksimum dipotong dalam pertandingan liga atau lain-lain tindakan yang difikirkan bersesuaian oleh FAM.

Ia berdasarkan peraturan FAM Lampiran 1 Artikel 24: Prinsip 24.1 yang mewajibkan pasukan melepaskan pemain bagi mewakili Malaysia berdasarkan kewarganegaraan atau menyertai aktiviti bola sepak kelolaan badan induk ini untuk kepentingan pembangunan bola sepak negara.

Tags / Kata Kunci: FAM , FAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan