Piala Tun Sharifah Rodziah 2015: MISC-MIFA Tidak Letak Sebarang Sasaran Penyertaan Sulung

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 7:03 PM

Pasukan bola sepak wanita MISC-MIFA yang akan beraksi pada Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 bermula Ahad ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pendatang baharu, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) tidak mahu dibebani tekanan atau sasaran pada penyertaan sulung mereka di kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 yang bakal bermula Ahad ini.


Skuad MISC-MIFA di bawah kendalian jurulatih, Ananthan M Raman agak mencuri tumpuan kali ini apabila separuh daripada pemainnya terdiri daripada bekas-bekas pemain pasukan juara 11 kali kejohanan, Sabah yang kebanyakan mereka adalah pemain kebangsaan, sekali gus dianggap pencabar utama kejuaraan.  

Presiden MISC-MIFA, Datuk T Mohan bagaimanapun berkata, penyertaan sulung mereka dalam kejohanan edisi ke-28 kali ini yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi dari 2 hingga 8 Ogos ini adalah sebagai langkah permulaan penglibatan kaum India dalam bola sepak wanita.

"Kami sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi kejohanan kali ini, cuma keutamaan penyertaan pertama kami ini adalah untuk mula meningkatkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat India bahawa wanita pun boleh terlibat dalam bola sepak.

"Oleh kerana kami tidak mempunyai cukup pemain berkualiti untuk diserapkan dalam pasukan kami kali ini, jadi kami menggunakan pemain-pemain bukan India yang kebanyakannya dari Sabah untuk digabungkan dengan lebih kurang enam pemain kaum India dalam pasukan ini.

"Jika melihat kepada persiapan pasukan, saya lihat para pemain cukup komited dan dengan bantuan pemain yang berpengalaman, kemungkinan kami berpeluang besar untuk melangkah jauh dalam kejohanan kali ini. Tapi kami tiada sasaran khusus dan tidak meletakkan tekanan kepada mereka," kata Mohan, pada Khamis.  

Antara bekas pemain Sabah yang menjadi taruhan MISC-MIFA ialah Sihaya Ajad, Dadree Rofinus, Marlia Basri, Usliza Usman dan Eslilah Esar manakala pemain dari kaum India seperti M Abiinayaa Joti, R Jaymeetha, N Vijayaletchumi dan D Mathurajah.

Ditanya adakah pasukan MISC-MIFA akan meneruskan penyertaan pada edisi-edisi akan datang, Mohan berkata: "Sudah tentu kami akan terus menyertai kejohanan ini selepas penyertaan sulung pada edisi kali ini. Mungkin pada masa tahun akan datang, pasukan kami akan dibarisi lebih ramai pemain terdiri daripada masyarakat India.

"Bagi mencapai objektif itu, pihak kami akan menganjurkan kejohanan bola sepak wanita di peringkat umur 12 tahun dan 16 tahun. Apabila ada kejohanan, baru kami dapat menghasilkan kelompok pemain wanita kaum India lebih ramai untuk mewakili pasukan MISC-MIFA pada masa akan datang."

Selepas 11 tahun menyepi dengan edisi terakhir berlangsung pada tahun 2004, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini bagi edisi kali ke-28.

Sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan edisi 2015 ini iaitu MISC-MIFA, juara bertahan Sabah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, ATM dan PDRM.

Majlis undian akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, jam 3 petang Jumaat untuk menentukan lima pasukan berada dalam Kumpulan A dan lima pasukan bagi Kumpulan B dengan aksi peringkat kumpulan dijadual dari 2 hingga 6 Ogos.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B bakal bertembung di separuh akhir pada 7 Ogos dan final dijadual pada 8 Ogos di Stadium Mini ILKAP.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan