'Keluarga The Reds' Tidak Lepas Peluang Hadir Ke Stadium

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2015 6:32 PM

Mohd Amran bersama isteri dan tiga anaknya yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liverpool dan Pilihan Malaysia pada Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peluang menyaksikan secara langsung kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) , Liverpool FC beraksi menentang pasukan Pilihan Malaysia tidak dilepaskan oleh peminat-peminat bola sepak tempatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat malam.


Ternyata penyokong-penyokong The Reds lebih bertuah berbanding dengan peminat kelab-kelab EPL yang lain memandangkan selepas empat tahun, pemain-pemain kesayangan mereka sekali lagi tiba di sini.

Salah seorang peminat fanatik Liverpool, Mohd Amran Md Ariff  yang mengalami lumpuh paras pinggang selepas terlibat dengan kemalangan dua tahun lalu mengakui kehadiran mereka adalah kenangan indah selepas kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri Jumaat lalu.

Di sebalik kesukaran bergerak dan hanya berkerusi roda, Mohd Amran bersyukur kerana minatnya dengan Liverpool ini turut dikongsi bersama isteri, Mawar Lokman serta tiga orang anaknya.

“Saya tidak pernah melepas peluang untuk datang ke stadium menyaksikan aksi pemain-pemain Liverpool. Kebiasaannya kita hanya lihat mereka bermain di siaran televisyen sahaja, tapi kali ini secara langsung.

“Pada aksi 2011 pun saya turut datang ke stadium. Untuk memastikan tidak terlepas peluang ini, kami awal-awal lagi sudah membeli tiket,” jelasnya ketika ditemui di luar perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis.

Menurut Mohd Amran, kedatangan pasukan Inggeris ke Malaysia bukan sahaja mampu memberi pengalaman kepada peminat-peminatnya, malah dalam masa sama juga dapat memberi pendedahan berlainan untuk skuad Malaysia.

“Sudah tentulah saya menyokong kedua-dua pasukan. Pemain-pemain Malaysia boleh mengutip pengalaman bermain dengan mereka.

“Bagi saya menang kalah tidak penting. Apa yan saya inginkan tengokkan ialah permainan yang ‘fun’ , namun kalau kita kalah pun, janganlah terlalu besar,” jelasnya tersenyum.

Liverpool yang dibimbing Brendan Rodgers itu memulakan Jelajah Pramusim mereka dengan menundukkanThai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai dan menundukkan kelab Liga Australia, Brisbane Roar 2-1 tiga hari kemudian, sebelum mengalahkan Adelaide United 2-0 pada Isnin lalu.

The Reds akan meneruskan perlawanan terakhir pra musim mereka di Eropah Utara menentang kelab Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos. 

Kali terakhir Liverpool beraksi di Malaysia adalah pada 2011 apabila skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal memberikan aksi membanggakan di Stadium Nasional yang dipenuhi penonton sebelum tewas 3-6. 

Tags / Kata Kunci: Peminat liverpool

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan