Pemain Perlu Hormat Keputusan Jurulatih, Bangga Dipanggil Sarung Jersi Kebangsaan - Khairy

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2015 9:54 PM

Khairy Jamaluddin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak negeri dan kelab perlu ada rasa bangga setiap kali dipanggil menyarung jersi kebangsaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sehubungan itu, Khairy berkata pemain yang dipanggil menyertai pasukan Pilihan Malaysia berdepan Kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool harus menghormati keputusan ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh menyenaraikan mereka.

"Ini lebih kepada pengurusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Mungkin ada pasukan menganggap perlawanan menentang Liverpool tidak penting sehingga tidak ada rasa hormat lagi terhadap pasukan kebangsaan.

"Walaupun perlawanan ini melibatkan pasukan Pilihan Malaysia, mereka (pemain) perlu tahu penganjuran itu adalah dari FAM dan yang panggil adalah jurulatih kebangsaan" katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat trek Grand Prix Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan P Ramlee dan sekitar Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Media sebelum ini melaporkan pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari menyatakan kemungkinan beberapa pemain negeri itu tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan Pilihan Malaysia untuk pertemuan dengan Liverpool.

Tiga pemain Selangor, Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan Robert Cornthwaite tersenarai dalam skuad itu bagi pertemuan dengan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai ini.

Sementara itu, Khairy berkata perubahan tarikh penganjuran KL Maraton Standard Chartered bersempena Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini tidak menjejaskan penyertaan larian tersebut yang akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini.

Menurutnya keputusan mengubah tarikh maraton itu dari 4 Oktober kepada 10 Oktober mendapat persetujuan antara kementerian dan penganjur.

"Memang ada salah faham tentang tarikh itu tetapi KBS dan penganjur (Dirigo Events) serta Standard Chartered telah berbincang dan bersetuju untuk ia diadakan sempena HSN nanti.

"Bagi saya perubahan tarikh ini tidak menjejaskan maraton itu sebab setiap tahun penyertaannya adalah tinggi, jadi tidak timbul isu," katanya.


Sejak 2009, KL Maraton Standard Chartered menawarkan hadiah bernilai AS$125,000 (RM445,387) dan menarik penyertaan bukan sahaja di Malaysia tetapi dari seluruh dunia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan