Bintang Piala Dunia Brazil Paulinho Pindah Ke Guangzhou Evergrande

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 11:02 PM

Guangzhou Evergrande telah memuatnaikkan poster khas Paulinho dalam laman web rasmi mereka.

(Ubah saiz teks)

> Kelab dari China itu bayar Tottenham £9.8 juta untuk dapatkan khidmat Paulinho

> Bintang berusia 26 tahun itu menyertai Tottenham dari Corinthians dua tahun lalu

> Tottenham bayar £17 juta untuk dapatkan khidmatnya selepas tamat Piala Dunia

> Paulinho akan bersatu semula dengan Luiz Felipe Scolari yang kini melatih Guangzhou

KELAB terbesar Liga Profesional China, Guangzhou Evergrande telah mengumumkan yang mereka berjaya memeterai perjanjian dengan Tottenham untuk membeli bintang Piala Dunia Brazil, Paulinho pada harga £9.8 juta.

Pemain berusia 26 tahun itu telah menandatangani kontrak selama empat tahun.

Paulinho menjadi pemain ternama yang pertama dari White Hart Lane yang 'dibersihkan' oleh pengurus Mauricio Pochettino untuk musim baru akan datang.

Pemain itu akan bersatu semula dengan bekas pengurus skuad kebangsaan Brazil, Luiz Felipe Scolari yang kini merupakan pengurus kelab tersebut.

Paulinho adalah salah seorang pemain yang menyerlah pada temasya Piala Dunia yang lalu tetapi selepas dia berpindah ke Spurs dari Corinthians pada harga £17 juta, dia berhadapan dengan masalah menyesuaikan diri dengan rentak permainan Liga Perdana Inggeris yang pantas.

Kenyataan rasmi dari laman web Guangzhou menyebut: "Kelab Bolasepak Guangzhou Hengda secara rasminya mengumumkan bahawa pemain tengah Brazil, Jose Paolo Bethesda La Maher Junior, atau lebih dikenali dengan nama Paulinho, telah menandatangani kontrak empat tahun bersama kami dengan yuran perpindahan sebanyak €14 juta (atau £9.8juta)."

Paulinho telah bermain sebanyak 32 kali untuk skuad kebangsaan Brazil dan telah menjaringkan lima gol.

Guangzhou kini menduduki tangga ketiga liga, hanya dua mata di belakang pendahulu Beijing Guoan.

Kelab itu adalah juara liga untuk empat musim berturut-turut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan