Jenazah Pemain T-Team Masih Di HRPZ II Kelantan

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 6:21 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Jenazah David Faramola Oniya, pemain T-Team yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 14 Jun lepas masih ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, jenazah pemain pertahanan kelab itu masih belum dituntut oleh pihak pengurusan pasukan ataupun kerajaan negeri Terengganu untuk proses selanjutnya.

"Kita masih belum menerima apa-apa keputusan dari pihak pengurusannya atau kerajaan negeri Terengganu sama ada ingin dikebumi (di Malaysia) ataupun dibawa pulang ke negara asal," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berharap pihak bertanggungjawab terhadap pemain itu agar dapat membuat keputusan yang terbaik berhubung pengurusan jenazah mendiang Oniya itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi berkata proses membawa pulang jenazah pemain T-Team itu akan diuruskan oleh kerajaan negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri Terengganu yang uruskan proses itu. Saya rasa ia mungkin selesai dalam beberapa hari lagi," katanya.

Pemain kelahiran Lagos, Nigeria, berusia 30 tahun itu dilaporkan rebah ketika perlawanan persahabatan dengan Kelantan berlangsung selama tiga minit di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Pemain itu yang kemudiannya dihantar ke HRPZ II disahkan meninggal dunia pukul 10.05 malam.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Oniya , T-Team

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan