Aksi Sentuh Punggung, Jara Digantung Tiga Perlawanan

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 7:07 AM

Gonzalo Jara.

(Ubah saiz teks)

PEMAIN pertahanan Chile, Gonzalo Jara akan terlepas peluang untuk beraksi pada saingan Copa America selepas digantung tiga perlawanan pada Ahad kerana menyentuh punggung pemain Uruguay, Edinson Cavani.

Malah, Jara juga dikatakan berpura-pura cedera semasa perlawanan berlangsung.

Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dalam satu kenyataan berkata, mereka menggantung Jara kerana berkelakuan seperti 'tiada semangat kesukanan'.

Dia turut didenda sebanyak 4,775 pound (RM28,338).

Jara akan terlepas aksi separuh akhir ketika Chile menentang Peru pada Isnin.

Dia juga tidak akan mewakili pada acara pembukaan kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018.

Terdahulu, rakaman video menunjukkan Jara menyentuh punggung Cavani.

Tindakan provokasi yang dilakukan Jara pada perlawanan suku akhir Copa America itu, pada Khamis menyaksikan Cavani diarah keluar padang oleh pengadil kerana bertindak balas dengan cara kasar.

Cavani yang juga penyerang utama Uruguay di kejohanan itu diarah keluar padang pada minit ke-63, disebabkan provokasi Jara yang membawa kepada kemenangan 1-0 Chile sekali gus mara ke separuh akhir.

Penyerang Paris Saint Germain itu dilihat menampar muka Jara sejurus punggungnya disentuh, namun pengadil hanya menghukum Cavani dengan memberinya kad kuning kedua.

Sekalipun tamparan itu tampak tidak kuat, Jara merebahkan badannya ke padang sambil memegang muka. 

Kad kuning pertama Cavani diperoleh selepas dia tidak berpuas hati dengan keputusan penjaga garisan pada minit ke-30.

Tags / Kata Kunci: Gonzalo Jara , Chile , Copa America

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan