Malaysia Menang Aksi Pembukaan Kejohanan Serantau AFC Perempuan B-14

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 9:42 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak remaja perempuan bawah-14 (B-14) negara menampilkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Singapura pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan Serantau AFC B-14 Bagi Zon Asean 2015 di Padang YFTC di Hanoi, Vietnam, Selasa.

Anak buah Zhang Hong itu, bagaimanapun ketinggalan di awal permainan selepas Putri Nur Syaliza meletakkan Singapura di hadapan pada minit ke-11 sebelum mereka bangkit menjaringkan tiga gol menerusi Thera Dellstey Thomas pada minit ke-17, Siti Nurfaizah Saidin (minit ke-49) dan Nor Athirah Mamat pada minit ke- 65, seperti dipetik daripada laman web AFC; www.the-afc.com.

Tuan rumah Vietnam juga memulakan kempen mereka dengan langkah kanan apabila menewaskan Filipina 3-0 pada satu lagi aksi Kumpulan B.

Sementara itu, juara bertahan Thailand membelasah Laos 9-0, manakala  Myanmar mengalahkan Kemboja 3-0 dalam aksi Kumpulan A.

Malaysia akan berdepan Vietnam, sementara Filipina dijadual bertemu Singapura pada perlawanan kedua, Rabu.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada Kumpulan A dan B  mara ke perlawanan separuh akhir.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: AFC , B-14 , Malaysia , Vietnam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan