Terengganu Didenda Bermain Tanpa Penyokong

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2015 9:46 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dihukum bermain satu perlawanan tanpa penyokong, manakala bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohd Anis Faron digantung enam bulan dan didenda RM5,000.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Sabtu berkata Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya Rabu lepas, turut mengenakan denda berjumlah RM87,500 kepada PBSNT kerana tindakan penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Kuala Terengganu pada 16 Mei.

"PBSNT dikenakan denda RM37,500 kerana didapati bersalah melanggar Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Tanggungjawab bagi kelakuan penonton' dan denda RM50,000 kerana melanggar Artikel 68 (c)  and  (e) Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Penganjuran perlawanan'.

"Bagaimanapun, jawatankuasa mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM dan memutuskan bahawa PBSNT hanya dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan sahaja iaitu perlawanan Liga Super 2015 di antara Terengganu dan JDT pada 20 Jun ini jam 9.45 malam di Stadium SMZA," menurut kenyataan itu.

Mohd Anis yang telah digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), pula digantung daripada bermain selama enam bulan berkuat kuasa sebaik sahaja didaftarkan untuk bermain bersama dengan mana-mana pasukan pada masa  akan datang.

Beliau didapati bersalah kerana melanggar Artikel 55 Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Menghasut kepada kebencian dan kelakuan ganas' dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Kelakuan yang menyinggung dan fair play' dibaca bersama dengan Artikel 88 Statut FAM pada 3 April lepas, selepas perlawanan Liga Perdana antara Pulau Pinang dan JDT II di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikenakan denda berjumlah RM105,000 kerana tiga jenis kesalahan penyokong iaitu melontar mercun semasa aksi Piala FA menentang T-Team pada 17 Mac (denda RM15,000).

PAFA juga dikenakan denda ke atas kesalahan penyokong menyalakan suar (denda RM15,000) dan kegagalan mengawal kekecohan (denda RM75,000) ketika perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 24 April.

Selain itu, PBNJ juga dikenakan denda RM10,000 kerana gagal mengawal kelakuan penyokong pada perlawanan yang sama.

"Hukuman bermain tanpa penonton di gelanggang sendiri kepada PAFA ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada tiadanya kesalahan yang sama berulang (merujuk kepada Artikel 70 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM) dan sekiranya kesalahan sama berulang, hukuman itu akan dikuatkuasakan serta-merta pada perlawanan PAFA menjadi tuan rumah," menurut kenyataan itu.

Pasukan Selangor UiTM FC pula dikenakan denda RM3,000 kerana menurunkan pemain yang tidak layak untuk bermain semasa perlawanan Liga Perdana menentang Sime Darby FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 20 April lepas.

"UiTM FC dilucutkan hak bagi perlawanan ini di bawah Artikel 32 Kod Tatatertib FAM, bagaimanapun keputusan perlawanan (UiTM FC 1-4 Selangor PKNS FC)  adalah dikekalkan," kata kenyataan itu.

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan juga tidak terlepas daripada tindakan apabila dikenakan denda RM5,000 berikutan insiden pembakaran suar serta denda RM50,000 dan bermain satu perlawanan tanpa penyokong kerana kesalahan gagal mengawal kelakuan penyokong.

Namun, bagi kesalahan itu yang berlaku pada perlawanan Piala FA menentang Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 17 Mac, kesalahan bermain tanpa penyokong ditangguh sementara dan sekiranya kesalahan sama  berulang, hukuman itu akan dikuatkuasakan serta-merta pada perlawanan pasukan itu menjadi tuan rumah.

FAM turut mengenakan denda kepada empat persatuan negeri atas kesalahan penyokong menyalakan suar dan melepaskan mercun ke udara, yang melanggar Artikel 70 para 1 dan 2 Kod Tatatertib FAM berkenaan 'Tanggungjawab bagi kelakuan penonton'.

Negeri-negeri berkenaan ialah Sarawak (RM12,500), Kelantan (RM10,000), Selangor (RM17,500) dan Pahang (RM15,000).

Tags / Kata Kunci: FAM , PBSNT , JDT

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan