Pemain T-Team Meninggal Dunia Ketika Perlawanan

Diterbitkan: Sabtu, 13 Jun 2015 11:49 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KOTA BARU: Pemain import pasukan T-Team David Faramola Aniya meninggal dunia ketika perlawanan persahabatan di antara Kelantan dan T-Team, kelab dari Terengganu, di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu malam.

Pemain kelahiran Nigeria yang berusia 30 tahun itu tiba-tiba jatuh pada minit ketiga perlawanan sebelum dibawa oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mat Zin berkata pihaknya terkejut dengan perkara berkenaan memandangkan sebelum perlawanan pemain yang beraksi dalam Liga Perdana itu dibenarkan beraksi.

"Dia tidak mengadu apa-apa masalah sebelum ini dan memang ingin beraksi pada perlawanan ini.

"Dia memang pemain yang bagus dan selalu memberi arahan kepada rakan sepasukan, ini merupakan musim pertamanya bersama pasukan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima pengesahan mengenai kematian pemain pertahanannya itu pada pukul 10.05 malam selepas dihubungi penolong jurulatih Azhari Salim yang berada di hospital berkenaan.

"Dikatakan (Faramola) ada masalah jantung tetapi kita perlu buat bedah siasat dahulu," katanya.

Perlawanan persahabatan itu dihentikan pada minit ke-60 oleh pengadil perlawanan Ku Alauddin Ku Muhammad.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis daerah Kota Baharu Supt Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian pemain import itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan