Sukan SEA: Vietnam Hampiri Slot Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2015 7:45 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Vietnam semakin hampir mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2015 apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Laos dalam perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Bishan, Khamis malam.

Rembatan kencang Nguyen Thanh Hien dari jarak 15 meter yang menerjah gawang pada minit ke-65 sudah cukup bagi anak buah Toshiya Miura itu untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada temasya dwitahunan itu. 

Sebelum ini, Vietnam membelasah Brunei 6-0 pada perlawanan pembukaan 29 Mei lepas, sebelum mengaibkan Malaysia 5-1 pada aksi kedua, dua hari lepas.

Dengan kejayaan tersebut menyaksikan Vietnam kekal sebagai pendahulu carta kedudukan pasukan dalam Kumpulan B, berkongsi sembilan mata dengan Thailand, namun mempunyai kelebihan berdasarkan perbezaan gol.

Terdahulu pada sebelah petang, Thailand selaku juara bertahan menewaskan Malaysia 1-0 dalam satu lagi saingan Kumpulan B.

Pada perlawanan Kumpulan A, Myanmar mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengejutkan tuan rumah Singapura 2-1 di Stadium Jalan Besar.

Nay Lin Tun meletakkan Myanmar di hadapan pada minit ke-24 sebelum Muhammad Faris Ramli menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian apabila pengadil Yousef Al-Marzouq dari Kuwait menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Myanmar.

Ye Ko Oo muncul wira pasukan Myanmar apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-59.

Tags / Kata Kunci: Vietnam , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan