Skuad B-13 Negara Belasah Lima Kelab Jerman Termasuk Bayern Munich

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 1:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saiz fizikal tidak menjadi penghalang buat pasukan Malaysia Bawah 13 Tahun (B-13) untuk mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan Jelajah Eropah bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sejak 31 Mei lalu.

Kemampuan anak didik Lim Teong Kim yang juga Pengarah Teknikal PPBN diuji bukan sahaja dari segi corak permainan tetapi saiz fizikal pemain-pemain B-13 kelab-kelab gergasi Jerman yang jauh lebih tinggi berbanding mereka.

Namun keadaan itu langsung tidak membimbangkan skuad B-13 negara apabila berjaya menggunakan segala tunjuk ajar jurulatih-jurulatih di PPBN dengan mencatat lima kemenangan berturut-turut aksi dalam persahabatan sejak tiba di Jerman minggu lalu.

Skuad negara mencatat kemenangan pertama 3-0 ke atas Ingolstadt seterusnya menang tipis 3-2 dengan TSV Murnau sebelum membelasah DFB Selection 6-0.

Sementara itu, pada Selasa lalu, skuad negara terus mencipta kemenangan ke atas DFI Academy dengan keputusan 4-0.

Dengan percaturan pemain yang berbeza, skuad Teong Kim kemudian berjaya menewaskan skuad B-13 Bayern Munich 2-1 pada aksi awal pagi Khamis.

Biarpun ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka bangkit memperbaiki kesilapan selepas mendengar kata-kata Teong Kim ketika waktu rehat - yang menyaksikan Firdaus Ramli dan Asman Asrul menjaringkan gol kemenangan buat pasukan Malaysia.

Baki lima perlawanan persahabatan di Jerman ini akan bersambung pada Ahad sebelum mereka diterbangkan ke Sepanyol pada 14 Jun untuk menghadapi ujian seterusnya.

Selain perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkenal di Jerman dan Sepanyol, skuad negara juga bakal menyertai dua kejohanan B-13 Tahun Piala Iber Costa Del Sol (Sepanyol) dan Piala Iber Estoril (Portugal) bermula 22 Jun hingga 5 Julai ini.

Tags / Kata Kunci: Malaysia , PPBN , Jerman , Bayern Munich

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan