Sukan SEA: Malaysia Menang Tipis, Nazmi Faiz Dibuang Padang

Diterbitkan: Sabtu, 30 Mei 2015 11:56 PM

Nazmi Faiz Mansor dibuang padang oleh pengadil, Chuan Hui Foo kerana meludah ke atas Filipe Oliveira. Foto: S.S KANESAN/ The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Bawah 23 Tahun negara mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas Timor Leste pada aksi peringkat Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura pada Sabtu malam. 

Impian skuad Harimau Muda untuk berpesta gol tidak kesampaian apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain mulai minit ke-32 selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor dibuang padang oleh pengadil, Chuan Hui Foo kerana meludah ke atas Filipe Oliveira .

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula dengan cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit ke-11 melalui D. Saarvindran yang menggunakan kebolehan penggunaan kaki kirinya apabila berjaya menyempurnakan bola hantaran singkat Muhammad Syafiq Ahmad.

Hasrat Malaysia untuk meningkatkan jurang tidak tercapai apabila Muhammad Syafiq gagal menggunakan peluang satu lawan satu, akibat kesilapan pemain pertahanan Jorge Sabas Victor, berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Timor Leste, Ramos Saozinho Ribeiro Maxanches tiga minit kemudian.

Pemain gantian, Nazirul Naim Che Hashim juga melepaskan peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-82 apabila sepakan percumanya ditepis keluar oleh penjaga gol lawan.

Kapten pasukan Timor Leste, Anggisu Correia De Almeida Barbosa hampir menyamakan kedudukan sebanyak dua kali pada minit ke-82 dan masa tambahan namun, penjaga gol Malaysia, Mohd Farhan Abu Bakar berjaya menggagalkan kedua-dua cubaan tersebut.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung pada saluran Astro Arena, Malaysia meraih tiga mata penuh, namun berada pada kedudukan ketiga di bawah Vietnam dan Thailand yang mempunyai kelebihan gol selepas kedua-dua pasukan itu menang 6-0 pada Jumaat.

Malaysia seterusnya akan bertemu pasukan Vietnam pada 2 Jun, Thailand (4Jun), Brunei (8 Jun) dan Laos (11 Jun) bagi menyempurnakan saingan peringkat Kumpulan B.

Tags / Kata Kunci: Sukan SEA , bola sepak , Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan