Fifa Tetap Diambang Perpecahan Jika Sepp Blatter Menang

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 2:53 PM

Sepp Blatter telah 17 tahun memimpin Fifa.

(Ubah saiz teks)

> Kongres Persekutuan Bolasepak Dunia atau Fifa bersidang di Zurich Jumaat

> Persidangan kali ini adalah untuk memilih pucuk pimpinan untuk tempoh empat tahun lagi

> Penyandang jawatan Sepp Blatter bertanding untuk penggal yang kelima

> Beliau akan ditentang oleh Putera Ali Al-Hussein dari Jordan

> Putera Ali perlu memperolehi 105 undi daripada 209 perwakilan untuk menewaskan Blatter

> Ahli gabungan paling berpengaruh, Kesatuan Bolasepak Eropah mengancam keluar dari Fifa jika Blatter menang

ZURICH: Nasib Presiden Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa), Sepp Blatter akan ditentukan dalam tempoh 24 jam dari sekarang apabila kongres badan dunia bersidang untuk memilih presiden serta jawatankuasa eksekutifnya yang baru untuk tempoh empat tahun lagi.

Blatter yang sudah pun berusia 79 tahun akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kelima dan beliau akan ditentang oleh Putera Ali Al-Hussein dari Jordan.

Di sebalik pendedahan skandal rasuah yang melibatkan wang berjuta-juta dolar Amerika yang menyaksikan 14 orang termasuk tujuh pegawai tinggi badan itu ditahan dua hari yang lalu, Fifa tetap bertekad untuk meneruskan pemilihan pucuk pimpinannya sebagaimana yang dijadualkan.

Putera Ali, adik kepada Raja Jordan tokoh yang tidak begitu dikenali sebelum ini dengan pantas menjadi calon popular selepas Luis Figo menarik diri pada saat-saat akhir dan Fifa dilanda skandal rasuah.

Seramai 209 perwakilan dari seluruh dunia akan mengundi untuk menentukan presiden yang baru.

Malah jika Blatter ditakdirkan menang sekali pun, masa depannya dan badan dunia itu masih berada di ambang perpecahan apabila Kesatuan Bolasepak Eropah atau Uefa mengancam untuk meninggalkan Fifa.

Presiden Uefa, Michel Platini secara terang-terangan berkempen untuk menjatuhkan Blatter yang sudah 17 tahun memimpin Fifa.

Uefa menegaskan, jika Blatter menang pemilihan ini, kesemua 54 anggotanya akan mengadakan satu persidangan khas sebelum final Liga Juara-Juara Eropah di Berlin untuk membincangkan masa depan mereka bersama Fifa.

Wakil England, David Gill turut mengumumkan bahawa dia tidak akan duduk mewakili negaranya, dalam kerusi Exco Fifa jika Blatter kekal berkuasa.

Keputusan Gill disokong oleh lain-lain wakil anggota-anggota Uefa dalam kerusi Exco Fifa.

Malah mereka mengugut tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan Piala Dunia dan lain-lain aktiviti rasmi Fifa.

Jika ini berlaku, Piala Dunia akan kehilangan serinya dan tanpa penyertaan negara-negara Eropah, para penaja dan pengiklan utama akan menarik diri dengan sendirinya.

Putera Ali memberi jaminan kepada Uefa yang dia telah pun mempunyai 60 undi kukuh dari persekutuan bolasepak yang lain dan menyeru agar Uefa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya untuk menjatuhkan Blatter.

Jika Uefa boleh menjanjikannya 46 undi kukuh, Putera Ali memang berpeluang menumpaskan Blatter.

Sebelum ini, penaja utama Fifa, Visa dan Hyundai telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mereka akan mengkaji semula penyertaan mereka dengan badan dunia itu, jika Fifa gagal membersihkan dirinya dari skandal rasuah.

DARI MANA DATANGNYA 209 UNDI:

Enam persekutuan membentuk Fifa, dengan setiap persekutuan mempunyai wakil daripada negara anggota.

> Afrika (Caf): 54 undi
> Eropah (Uefa): 53 undi
> Asia (Afc): 46 undi
> Utara Amerika dan Amerika Tengah: (Concacaf): 35 undi
> Oceania: 11 undi
> Amerika Selatan (Conmebol): 10 undi

Total: 209 undi.








iklan

Kolumnis

iklan

Iklan