Joseph Kalang Sedia Jumpa Pemain Spurs

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2015 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pertemuan pasukan pilihan Malaysia bertemu dengan skuad terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam Rabu ini sekurang-kurangnya mampu meredakan sedikit tekanan pemain-pemain kebangsaan yang bakal berdepan dengan aksi Kelayakan Piala Asia UAE 2019 Jun ini.

Spurs yang menamatkan saingan EPL musim ini ditangga kelima tiba di negara buat kali pertama selepas tahun 1979.

Barisan negara yang dibimbing jurulatih Dollah Salleh bakal diwakili dengan pemain-pemain pilihan termasuk pemain import bagi memeriahkan perlawanan persahabatan ini.

Salah seorang pemain senior kebangsaan, Joseph Kalang Tie menganggap perlawanan ini adalah peluang terbaik untuknya menimba pengalaman.

"Mereka merupakan sebuah pasukan terkemuka yang dibarisi pemain-pemain hebat. Musim ini mereka dilihat antara pasukan yang kuat dalam saingan EPL.

"Bukan mudah untuk kita bertemu dengan mereka dan inilah peluang terbaik bagi saya dan juga pemain-pemain lain mempelajari sebanyak mungkin corak permainan Spurs," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Wisma FAM.

Joseph,28, bermain di posisi tengah bersama pasukan Sarawak musim ini, namun dijangka berada di bahagian sayap pada aksi malam esok.

"Saya gembira kerana turut tersenarai dalam skuad pilihan Malaysia dan akan cuba bermain dengan baik. Mengenai sebelas barisan pemain utama, saya serah kepada jurulatih.

"Tidak mustahil kita boleh menang jika semua pemain bekerja keras lebih daripada mereka. Kita belajar daripada mereka, tetapi jangan lalai," jelas peminat Chelsea ini.

Tags / Kata Kunci: Joseph Kalang Tie , Pilihan Malaysia , Spurs

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan