Final Piala FA: Penyokong Dirayu Hulur Sumbangan Untuk Mangsa Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2015 6:24 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyokong-penyokong bola sepak yang menghadiri Stadium Putra Bukit Jalil di sini bagi menyaksikan final Piala FA melibatkan pasukan Kelantan menentang Lions XII disaran menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sumbangan boleh disalurkan kepada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Darul Hijrah, Gerakan Impian Kelantan serta Persada yang menyediakan kaunter bagi memungut derma untuk membina rumah kekal di kawasan Gua Musang serta Kuala Kerai.

Koordinator Yayasan Darul Hijrah, Jeming Hassan, berkata masih terdapat banyak rumah yang perlu dibina untuk mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut selepas mereka dilanda banjir besar pada Disember lalu.

"Banjir yang berlaku di Kelantan telah memusnahkan hampir 3,000 buah rumah dan setakat ini hanya lebih kurang 1,000 sahaja rumah yang dibina.

"Hanya sepuluh buah rumah sahaja setakat ini yang berjaya dibina semula di kawasan Manjung dan Kuala Kerai.

"Jadi kami memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk membantu kami membina kediaman kekal dan lebih selesa untuk mangsa-mangsa banjir di sana," katanya.

Menurut Jeming, sumbangan daripada orang ramai juga sangat bermakna bagi pihaknya.

"Kami sangat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh orang ramai walaupun hanya seringgit, " katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: Kelantan , Banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan