Piala FA: Amutu Taruhan Utama Kelantan Berdepan Lions XII

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 11:28 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHRU: Jika Kelantan menjuarai Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, mungkin Austin Amutu adalah pemain yang menjadi penentunya.

Begitulah harapan setiap penyokong setia The Red Warriors (TRW) berdasarkan persembahan berbisa pemain berusia 23 tahun dari Nigeria itu yang suatu ketika pernah diintai oleh kelab ternama Liga Perdana Inggeris iaitu Arsenal.

Ketua jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah pula pasti mengharapkan agar Amutu cergas sepenuhnya daripada kecederaan hamstring apabila Kelantan beraksi pada perlawanan akhir Piala FA menentang Lions XII dari Singapura.

Sementara itu, Amutu ketika dihubungi berkata beliau bertekad untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang mungkin dan mahu menjulang Piala FA bersama TRW tahun ini.

"Saya mahu menjaringkan banyak gol untuk Kelantan jika saya diturunkan esok, saya mahu menampilkan aksi terbaik kepada penyokong," katanya.

Aksi garang Amutu menyerlah sejak penampilan sulungnya dalam saingan Liga Super ketika Kelantan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 18 April lepas, apabila beliau meledak gol pertama buat kelab barunya itu.

Sekali gus, gerakan lincah dan tendangan kencangnya membuka mata penganalisis serta peminat bola sepak di Malaysia kerana nyata pemain berkenaan merupakan seorang penyerang yang cukup berbisa.

Dua jaringan Amutu yang merupakan pemain bawah 23 tahun Nigeria pada minit ke-75 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang pada 16 Mei lepas, membolehkan Kelantan mara ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2.

Nyata, pelaburan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang setiap tahun bergelut mencari dana, berbaloi apabila Amutu mula memberi pulangan kepada TRW selepas mencipta beberapa kemenangan kepada pasukan itu.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa pada satu sidang media berkata KAFA tidak mampu membelanjakan lebih daripada USD200,000 setahun ke atas pemain ataupun jurulatih import yang diambil untuk berkhidmat dengan TRW.

TRW sebelum in dilaporkan terpaksa melepaskan beberapa pemain importnya yang mahukan kenaikan gaji ketika Kelantan terumbang-ambing dengan jumlah tajaan yang tidak menentu pada setiap tahun.

Legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar, 69, pernah dilaporkan berkata bahawa Amutu merupakan seorang pemain yang bijak dalam merencanakan serangan dan berbahaya di hadapan gol.

Turut berkongsi harapan sama ialah pengurus Kelantan Azman Ibrahim yang berharap Amutu yang beraksi di jentera serangan, dapat beraksi pada perlawanan akhir itu memandangkan pemain itu merupakan senjata utama TRW.

Sekiranya Amutu cergas untuk beraksi, jurulatih Lions XII Fandi Ahmad sudah pasti mempunyai strategi untuk mengekang pemain lincah Nigeria itu.

Tags / Kata Kunci: Piala FA , Austin Amutu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan