De Gea Perlu Buat Keputusan - Van Gaal

Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 11:44 AM

De Gea terpaksa dikeluarkan pada minit ke-74 akibat kecederaan yang dialami ketika menentang Arsenal, Ahad.

(Ubah saiz teks)

KEPUTUSAN mengeluarkan penjaga gol Manchester United, David De Gea pada perlawanan menentang Arsenal bagaikan petunjuk kariernya di kelab itu bakal berakhir.

De Gea yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid terpaksa dikeluarkan pada minit ke-74 selepas mengalami kecederaan.

Ini bermakna dia mungkin terlepas perlawanan liga terakhir United musim ini menentang Hull dan Pengurus United, Louis Van Gaal menjangkakan Madrid untuk membuat bidaan ke atas De Gea.

Walaupun menjelaskan enggan melepaskan penjaga gol berusia 24 tahun itu, tindakan Van Gaal itu bagaikan isyarat De Gea mungkin beraksi dalam perlawanan terakhir untuk kelabnya ketika seri 1-1 menentang Arsenal pada Ahad.

Bekas pengurus kebangsaan Belanda itu dilihat bagaikan sudah bersedia untuk kehilangan khidmat penjaga gol itu.

"Anda kemukakan soalan yang tidak mampu untuk saya jawab kerana saya tidak tahu jawapannya dan saya juga telah menjelaskan bahawa perkara mengenai perpindahan merupakan isu individu.

"Dia perlu membuat keputusan kerana kami telah menawarkan kontrak yang lumayan untuk dia kekal bersama kami dan saya rasa dia melalui musim yang baik bersama United.

"Saya juga telah menganalisis kedudukannya, dan dia berasal dari Sepanyol, merupakan pemain kebangsaan Sepanyol dan kelab dari Sepanyol mahukan khidmatnya, malah teman wanitanya juga dari Sepanyol," kata Van Gaal.

De Gea berpindah ke Manchester dari Atletico Madrid dengan bayaran perpindahan sebanyak 18.9 juta pound, empat tahun lalu dan menjadi antara penjaga gol terbaik di Old Trafford.

Van Gaal menjelaskan, dia tidak pasti sama ada Real Madrid telah membuat bidaan ke atas penjaga gol utamanya tetapi dia juga tidak menolak kemungkinan Santiago Bernabeu akan menjadi destinasi seterusnya untuk De Gea.

Walau apapun spekulasi mengenai perpindahan De Gea, Van Gaal merasakan United dan penyokong yang menjerit nama penjaga gol itu setiap kali perlawanan, telah melakukan yang termampu untuk mengekalkan khidmat De Gea.

"Saya rasa saya sudah tidak mampu untuk memujuknya untuk kekal bersama kami kerana dia tahu apa yang dia miliki di sini dan saya tidak perlu menerangkannya kerana dia boleh merasakan sendiri sokongan penyokong terhadapnya.

"Tetapi dia akan kehilangan perasaan itu sekiranya dia membuat keputusan untuk meninggalkan United, dia merupakan antara pemain yang dihargai oleh penyokong di sini jadi dia perlu membuat keputusan," katanya lagi.

Antara pemain lain yang akan meninggalkan United akhir musim ini adalah penyerang, Radamel Falcao yang dipinjamkan dari kelab AS Monaco.

United mempunyai pilihan untuk mendapatkan khidmat Falcao secara tetap tetapi pemain antarabangsa Colombia itu gagal untuk menarik perhatian dan telah dikeluarkan pada minit ke 61 ketika menentang Arsenal berikutan aksi hambar.

Van Gaal menegaskan, tiada keputusan yang telah dibuat mengenai pemain berusia 29 tahun itu.

"Anda tahu situasi mengenai Falcao dan kami akan membuat keputusan pada penghujung musim ini," kata bekas pengurus Barcelona itu.

United terlepas peluang untuk memintas Arsenal bagi kedudukan ketiga.

Ander Herrera membuka tirai jaringan untuk United dengan rembatan cantik dan pasukan itu mendominasi separuh masa pertama tetapi 'The Gunners' kembali beraksi cemerlang pada separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian, Theo Walcott pada minit ke-82.

"Pada pendapat saya, perbezaan antara Chelsea dan United adalah pasukan kendalian Mourinho mampu mendominasi perlawanan sehingga ke minit akhir.

"Apabila pasukan anda 1-0 di hadapan dan mempamerkan corak permainan yang baik, anda perlu menjaringkan lebih banyak gol untuk menutup peluang pihak lawan untuk kembali bangkit dalam perlawanan.

"Inilah mentaliti pasukan yang perlu dibaiki," kata Van Gaal lagi.


Tags / Kata Kunci: David De Gea , Real Madrid , Van Gaal

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan