Kelantan Jumpa Lions XII Di Final

Diterbitkan: Ahad, 17 Mei 2015 7:15 AM

Gilmar de Silva diasak penjaga gol Pahang, Khairul Azhan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam Sabtu. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas juara dua kali, Kelantan akan bertemu wakil Singapura, Lions XII pada final Piala FA 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 Mei ini.

Kelantan, juara pada 2012 dan 2013, bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada Pahang pada separuh akhir pertama di Kuantan, 9 Mei lepas dengan meraih kemenangan selesa 3-1 pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam Sabtu.

Kemenangan tersebut membolehkan Kelantan mara ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2.

Kelantan pernah beraksi di pentas final Piala FA sebanyak empat kali iaitu 2009, 2011, 2012 dan 2013.

Wakil Singapura, Lions XII pula mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan walaupun seri 4-4 menentang Terengganu pada satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Kekalahan 3-2 yang dialami oleh pasukan seberang tambak itu pada aksi malam ini tidak menjejaskan kedudukan mereka ke pentas akhir selepas melakar kemenangan tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, 9 Mei lepas.

Pada aksi di Kota Baharu, Kelantan meraih jaringan pembukaan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-17 selepas menyambar hantaran silang daripada Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pemain sayap Pahang, R. Gopinathan bagaimanapun menyamakan kedudukan untuk skuad 'Tok Gajah' pada minit ke-57 selepas menyudahkan hantaran daripada Dickson Nwakaeme.

Kemasukan penyerang import dari Nigeria, Austin Amutu pada pertengahan babak kedua nyata mengubah rentak permainan Kelantan selepas beliau meledak dua jaringan pada minit ke-75 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan bagi mengesahkan tiket final menjadi milik skuad 'The Red Warriors'.

Terdahulu, Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penyerangnya, Azamuddin Mohd Akil menerima kad merah daripada pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri kerana dikatakan menyiku Wan Zack Haikal pada minit ke-33.

Dalam pada itu, Lions XII melangkah ke final walaupun kalah 3-2 kepada Terengganu yang kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan yang sebelum ini ditutup bagi kerja penambahbaikan.

Terengganu dikejutkan dengan jaringan awal penyerang Lions XII, Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal pada minit ke-16 sebelum penyerang berbisa dari Brazil, Paulo Rangel menyamakan kedudukan untuk Terengganu selepas menanduk masuk hantaran Issey Nakajima-Farran, selang lima minit kemudian bagi menggembirakan hampir 30,000 penyokong yang hadir.

Kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Muhammad Khairul Amri melakar jaringan peribadi kedua menerusi rembatan kencang daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-27.

Rangel kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama setelah beliau dikasari pemain lawan di dalam kotak penalti.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-59 setelah memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Lions XII.

Terengganu berjaya menambah gol keempat pada minit ke-89 menerusi percubaan Ahmad Nordin Alias namun dibatalkan oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob kerana beliau dikatakan berada dalam kedudukan offsaid.

Keputusan tersebut nyata mengundang rasa kecewa kepada pemain tuan rumah terutamanya Rangel yang dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan tersebut.

Seorang lagi pemain Terengganu, Gustavo Fabian Lopez turut menerima nasib yang sama setelah menerima kad kuning kedua kerana dikatakan turut membantah keputusan Mohd Amirul Izwan.

Tags / Kata Kunci: Lions XII , Kelantan , final Piala FA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan