United Intai Pengganti De Gae

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2015 12:00 PM

De Gea ditawarkan kontrak baharu dengan gaji lebih lumayan untuk musim akan datang.

(Ubah saiz teks)

PENGGANTI David De Gea sudah dikenal pasti, kata pengendali Manchester United, Louis Van Gaal.

Beliau menjelaskan, beberapa pemain sudah diintai untuk menggantikan De Gea jika penjaga gol pasukan itu memutuskan untuk meninggalkan United.

Kontrak pemain kebangsaan Sepanyol itu akan tamat pada musim hadapan tetapi De Gea masih belum menandatandangi kontrak baharu yang telah ditawarkan.

Van Gaal berkata, dia tidak pasti sama ada pemain berusia 24 tahun itu akan kekal bersama United, tetapi menjelaskan rancangan sudah diatur sekiranya pemain tersebut membuat keputusan untuk berhijrah ke kelab lain.

"Kami telah menyenaraikan penjaga gol yang mampu menggantikan De Gea sebagai persediaan," kata Van Gaal.

Menurut laporan di Sepanyol, De Gea merancang untuk menyertai pasukan Real Madrid.

Perbincangan kontrak bersama De Gea yang menyertai United pada 2010 telah dimulakan pada awal musim dan baru-baru ini Van Gaal menyatakan United telah menawarkan gaji lumayan kepada penjaga gol utama mereka untuk kekal di Old Trafford.

"Kami mahu dia kekal di sini dan saya harap dia bersetuju dengan kontrak baharu yang ditawarkan," katanya.

Van Gaal menegaskan hanya De Gea sahaja yang boleh membuat keputusan mengenai masa depannya.

"Terdapat tiga pihak yang terlibat dalam perbincangan ini dan pihak yang paling penting adalah pemain tersebut.

"Keputusan bukan terletak di tangan Manchester United, atau saya tetapi kami mahu dia menandatangani kontrak baharu.

"Dia perlu bersetuju dengan kontrak baharu dan mempunyai perasaan untuk kekal bersama United tetapi saya tidak tahu kenapa dia masih belum menandatandangi kontrak yang ditawarkan," katanya lagi.

Van Gaal telah membelanjakan lebih 150 juta pound bagi tujuh pemain baharu musim ini dan Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward berkata, kelab itu akan aktif dalam musim perpindahan akan datang.

Terdapat spekulasi mengenai kelab tersebut yang cuba mendapatkan khidmat penyerang Tottenham, Harry Kane atau pemain Real Madrid, Gareth Bale pada musim hadapan.

Bagaimanapun, Van Gaal menyangkal spekulasi tersebut. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan