Chicharito Hero Real Madrid, Juventus Kembali Garang

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 10:24 AM

(Ubah saiz teks)

MADRID: Jaringan lewat oleh Javier “Chicharito” Hernandez berjaya membawa Real Madrid melangkah ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam perlawanan itu, gol pada minit ke-88 yang dijaringkan pemain pinjaman dari Manchester United itu berjaya menewaskan pasukan pelawat, Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 pemain.

Real Madrid layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada perlawanan suku akhir pertama pada minggu lalu.

Hernandez yang sering memanaskan bangku simpanan Real Madrid berjaya mengegarkan jaring selepas mendapat hantaran Cristiano Ronaldo.

Atletico terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Arda Turan dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Sergio Ramos pada minit ke-76.

Sementara itu di Monaco, Juventus berjaya membawa nama Itali kembali ke persada Eropah selepas turut layak ke saingan separuh akhir Liga juara-Juara Eropah dengan agregat 1-0.

Dalam perlawanan ditempat lawan, Juventus menamatkan permainan dengan keputusan seri 0-0 sekaligus berjaya mengekalkan kemenangan 1-0 yang dicapai dalam perlawanan pertama di Itali.

Dalam perlawanan pada minggu lalu, Arturo Vidal menjaringkan gol tunggal selepas dihadiahkan sepakan penalti.

Juventus yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali kembali memberi saingan kepada kelab gergasi Eropah dengan membariskan pemain muda.

Tags / Kata Kunci: Liga Juara-Juara Eropah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan