Dua Remaja Malaysia Sertai Klinik Bola Sepak AirAsia QPR Di London

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2015 7:47 PM

Azmizan (kiri) dan Nur Aiman (dua dari kanan) bersama Chris Ramsey di London.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua remaja Malaysia antara empat pemain muda yang dipilih menyertai program jelajah Klinik Bola Sepak Airasia Queens Park Rangers (QPR) ke London untuk menjalani latihan bersama pasukan itu.

Remaja Malaysia terbabit adalah Mohd Azmizan Ruslih yang berasal Kota Kinabalu, Sabah, manakala Mohd Nur Aiman Omran dari ibu negara.

Selain mereka, dua lagi adalah remaja dari Thailand, Nattanan Biesamirt dan Ren Wei mewakili China dipilih menjalani latihan seminggu di Akademi QPR serta berpeluang melawat Stadium Loftus Road selain bertemu serta melihat pasukan utama QPR menjalani latihan.

Remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun itu juga berpeluang bertemu Pengurus Pasukan QPR, Chris Ramsey.

Peserta klinik bola sepak itu juga didedahkan dengan teknik latihan pemain profesional di England, selain diajar pelbagai kemahiran seperti manipulasi bola, teknik menghantar, merembat dan aspek taktikal.

Mereka dipilih menerusi siri jelajah anjuran AirAsia dengan kerjasama QPR pada November 2014.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar, program ini untuk memberi pendedahan kepada bakat muda mengenai bola sepak di England.

"AirAsia berbangga dapat memenuhi impian pemain bola sepak di kalangan generasi muda di rantau ini dan menyumbang kepada komuniti dan dengan kerjasama  QPR Community Trust mereka berpeluang menimba pengalaman sekali seumur hidup ke London," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QPR (Community Trust), Andy Evans menganggap program itu baik untuk pembangunan masa depan bola sepak di Asia Tenggara.

"AirAsia telah menyediakan platform bagi pemain muda di Asia Tenggara untuk membangunkan kemahiran dalam sukan bola sepak  seperti yang kami lakukan di Akademi QPR di London.

Sebelum ini AirAsia telah mewujudkan pelbagai inisiatif pembangunan sukan bagi memberi manfaat kepada golongan muda, dengan memberi pelbagai peluang, platform untuk mencapai kejayaan dan mengenal pasti kelebihan serta potensi diri.

Antara bintang sukan yang mengikuti inisiatif pembangunan sukan adalah pelumba MotoGP, Zulfahmi Khairuddin dan pemain skuasy, Low Wee Wern.


Tags / Kata Kunci: AirAsia , QPR , Stadium Loftus Road

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan