Malaysia Berpeluang Ke Pusingan Akhir Piala AFC B23 2016

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 12:40 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Malaysia menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 Bawah 23 Tahun selepas mengalahkan pasukan tercorot, Macau 2-0 pada aksi kedua kumpulan I, peringkat kelayakan di Stadium Shah Alam, Ahad.

Skuad negara yang kalah 2-1 kepada Vietnam pada aksi pembukaan, Jumaat lepas, ternyata mendominasi babak awal perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus bagi memburu gol pembukaan sebaik sahaja pengadil dari India, Rowan Arumughan meniupkan wisel.

Hasilnya, penyerang Syahrul Azwari Ibrahim meletakkan Malaysia di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 selepas pemain negara dikasari pemain Macau dalam kotak penalti.

Pasukan negara bergelar Harimau Muda itu meningkatkan tempo permainan bagi menambah jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan dan kekebalan benteng pertahanan Macau sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, skuad negara meneruskan corak menyerang dan ia membuahkan hasil apabila pemain tengah, Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris meledakkan gol kedua pada minit ke-66.

Skuad B-22 negara terus mendominasi permainan namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan kental pasukan Macau untuk menambah jaringan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, pengendali skuad B-22 negara, Razip Ismail berpuas hati dengan corak persembahan dipamerkan pemain  namun sedikit kecewa dengan bilangan gol terutamanya pada babak kedua perlawanan disebabkan ketangkasan penjaga gol Macau, Ho Man Fai.

"Syukur, Alhamdulillah kerana kita berjaya mendapat tiga mata untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir kejohanan dan saya ingin ucapkan tahniah kepada pemain yang tidak pernah berputus asa pada perlawanan hari ini," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Jepun, Selasa ini, Razip mengakui ia merupakan satu tugas sukar kerana skuad muda 'Samurai Biru' itu beraksi dengan corak serangan pantas namun berharap pemainnya mempamerkan semangat juang yang tinggi.

Berkongsi pandangan yang sama adalah kapten pasukan negara, Nazirul Naim Che Hashim yang gembira dengan kutipan tiga mata hari ini walaupun menyedari mereka berdepan tugas sukar menentang Jepun pada aksi terakhir kumpulan I.

"Saya harap rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan kerana hanya kemenangan ke atas Jepun sahaja akan membantu kita layak ke pusingan akhir kejohanan," katanya yang beraksi di posisi pertahanan.

Rakan sepasukannya, Syahrul Azwari Ibrahim yang beraksi pertama kali pada kejohanan kali ini pula berharap dapat diturunkan pada aksi menentang Jepun nanti.

"Insya-Allah, kalau diberikan peluang oleh jurulatih sekali lagi, saya akan beri persembahan yang terbaik," kata penyerang kelahiran Kelantan itu.

Jepun sebelum ini membelasah Macau 7-0 pada perlawanan pembukaan, Jumaat lepas.

Sementara itu, ketua jurulatih Macau, Tam Iao San memuji persembahan anak buahnya walaupun sudah terkeluar daripada saingan.

"Kekalahan kedua ini menunjukkan pasukan ini perlu memperbaiki persembahan tetapi saya gembira kerana pemain mendapat pengajaran bermakna daripada kejohanan ini," katanya.

Macau akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Vietnam, Selasa ini.

Malaysia perlu mengharapkan 'belas ihsan' daripada Jepun untuk mengalahkan Vietnam pada aksi kedua kumpulan, malam ini bagi mencerahkan peluang ke pusingan akhir kejohanan di Qatar, Januari tahun depan.
Tags / Kata Kunci: Piala AMC

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan