Piala AFC: JDT Raih Tempat Teratas Kumpulan F Selepas Tewaskan Balestier Khalsa

Diterbitkan: Rabu, 11 Mac 2015 10:29 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menang tipis 1-0 ke atas kelab dari Singapura, Balestier Khalsa FC pada perlawanan Piala AFC 2015 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam Selasa.

Gol tunggal perlawanan kedua Kumpulan F itu dijaringkan oleh Mohd Asraruddin Putra Omar pada minit terakhir permainan iaitu pada minit ke-92, sekali gus memberi tiga mata berharga buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Bola hantaran Harris Harun itu dimanfaatkan dengan baik oleh Asraruddin yang melepaskan sepakan melalui kaki kirinya melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Zaiful Nizam Abdullah.

Skuad Harimau Selatan yang sebelum ini membenam wakil kelab dari India, Kingfisher East Bengal 4-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 24 Februari lepas, meraih tempat teratas dalam Kumpulan F dengan mengutip enam mata.

Perlawanan itu disiarkan secara langsung di saluran TV9. 

Pasukan kendalian Bojan Hodak seterusnya akan bertemu wakil kelab dari Hong Kong, Kitchee FC pada Selasa depan di Stadium Mongkok, Hong Kong.

Dalam pada itu, sebuah lagi wakil negara, Pahang yang menundukkan wakil Myanmar, Yadanarbon pada 25 Feb lepas, akan bertemu Global FC dari Filipina pada satu lagi aksi Kumpulan G di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada Rabu.

Tags / Kata Kunci: JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan