Kelemahan Mental Punca Terengganu Gagal Raih Tiga Mata Penuh

Diterbitkan: Ahad, 8 Mac 2015 2:03 PM

Pemain Terengganu, Paulo Rangel (kiri) berjaya mengelirukan pemain ATM, Obbina Nwaneri dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam Sabtu. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim mengakui kegagalan anak buahnya meraih tiga mata penuh ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di sini malam Sabtu, berpunca daripada kelemahan mental pemainnya.

Malah, Abdul Rahman juga tidak menolak faktor peralihan padang latihan kepada padang rumput tiruan yang menyebabkan pemain terpaksa mengerah lebih tenaga, telah menjejaskan corak permainan mereka.

"Saya lihat pemain hanya mampu bertahan sekitar 70 minit. Baki masa selebihnya, mereka keletihan kerana latihan di padang rumput tiruan memerlukan tenaga yang banyak dan kita belum biasa dengan padang (rumput tiruan) itu.

"Saya rasa malu, pasukan yang ditaja oleh kerajaan negeri sepenuhnya tidak ada (disediakan) padang untuk latihan," katanya kepada pemberita selepas  perlawanan itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Pada masa ini, pasukan Terengganu terpaksa menjalani latihan di padang rumput tiruan berikutan padang rumput biasa yang digunakan untuk sesi latihan sebelum ini, sedang menjalani proses pengubahsuaian.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang ATM.

Biarpun skuad Penyu mendahului 2-0 ke atas ATM yang diberi jolokan 'The Gladiators' pada satu ketika hasil jaringan penyerang import kelahiran Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-32 dan 48, kedudukan itu tidak bertahan lama iaitu selepas 60 minit permainan.

Penyerang import ATM, Jerry Nelson Palacios pantas mengambil peluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-68, sebelum Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian ekoran kealpaan barisan pertahanan Terengganu.

Sementara itu, jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata keputusan seri itu telah meningkatkan semangat pemain, selepas mereka tewas tiga perlawanan sebelum ini, daripada empat perlawanan.

"Keputusan ini (seri) menunjukkan tanda-tanda ATM akan kembali bangkit dan saya meminta pemain mengekalkan momentum permainan untuk perlawanan seterusnya," kata beliau.
Tags / Kata Kunci: Terengganu , ATM , Liga Super

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan