Stadium Merdeka Kembali Beraksi Dalam Tempoh 17 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 12:29 PM

Stadium Merdeka

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Untuk pertama kalinya dalam tempoh 17 tahun, Stadium Merdeka akan kembali sebagai tuan rumah kepada pasukan bolasepak Kuala Lumpur apabila pasukan itu bertemu Sabah dalam perlawanan Liga Perdana jam 4.45 petang ini (Jumaat).

Ia adalah perlawanan pembukaan kepada Liga Malaysia musim ini.

Stadium Merdeka yang dibuka pada 21 Ogos 1957 kali terakhir menganjurkan perlawanan antarabangsa ialah pada Oktober 2001 yang menyaksikan pasukan kebangsaan seri 1-1 dengan Kemboja.

Dan kini untuk pertama kalinya dalam tempoh 17 tahun, Stadium Merdeka akan menjadi hos kepada Liga Malaysia untuk tempoh dua tahun sementara Stadium KLFA di Cheras siap menjalani penyelenggaraan.

Setiausaha Agung KLFA, Ramlan Askolani mengakui yang perlawanan di Stadium Merdeka hari ini akan mengimbau kembali kenangan silam pemain veteran sepertinya yang pernah beraksi di sini di tahun-tahun 1980-an.

"Kami menang Piala Malaysia di Stadium Merdeka sebanyak tiga kali berturut-turut (1987-89)," kata Ramlan yang menjaringkan gol pada perlawanan akhir 1988 menentang Kedah.  Kuala Lumpur menang 3-0 dalam perlawanan itu.

Ramlan berharap, kenangan manis pasukan Kuala Lumpur bersama Stadium Merdeka akan melonjakkan semangat pemain-pemain mereka untuk kembali semula ke Liga Super musim depan.

Selepas era kegemilangan mereka di penghujung 1980-an, pasukan Kuala Lumpur mengalami era suram malah telah tersingkir ke Liga FAM pada tahun 2013 iaitu pertama kali dalam sejarah pasukan itu.

Kini mereka berazam untuk kembali ke Liga Super.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan