Pengurus, Jurulatih QPR Letak Jawatan

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 9:35 AM

Redknapp dan Hooddle meletakkan jawatan sebagai pengurus dan jurulatih QPR pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

PASUKAN Queens Park Rangers (QPR) yang menghuni kedudukan bawahan Liga Perdana Inggeris dikejutkan dengan perletakan jawatan pengurusnya Harry Redknapp.

Tidak cukup dengan itu, kelab tersebut sekali lagi menerima kejutan apabila ketua jurulatihnya, Glenn Hoddle turut mengikut jejak Redknapp.

Hoddle yang merupakan anak didik Redknapp bertindak melepaskan jawatan itu selepas dua jam menerima berita mengenai perletakan jawatan pengurusnya.

Redknapp dilapor melepaskan jawatan itu selepas memaklumkan hasratnya kepada pemilik kelab iaitu Tony Fernandes menerusi panggilan telefon.

Pengurus berusia 69 tahun itu mendakwa perletakan jawatan tersebut bakal memberikan ruang kepadanya untuk menjalani pembedahan lutut.

Dalam pada itu, Hooddle yang mula bersama QPR pada Ogos tahun lalu untuk membantu Redknapp mengeluarkan kelab berkenaan dari kedudukan tiga terbawah liga meninggalkan skuad berkenaan tanpa menyelesaikan tugas berat tersebut.

"Saya terkejut dengan tindakan Redknapp. Tetapi inilah bola sepak, satu perniagaan berorientasikan keputusan.

"Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Redknapp yang memberi peluang kepada saya untuk melatih QPR selama ini," katanya tanpa menjelaskan alasan perletakan jawatan itu.

Sementara itu, kekosongan jawatan pengurus dan ketua jurulatih dijangka akan diambil alih oleh bekas pengendali Tottenham Hotspur, Tim Sherwood.

Bagaimanapun keputusan rasmi akan diumumkan oleh Tony Fernandes dalam tempoh terdekat.




Tags / Kata Kunci: QPR , AirAsia , EPL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan