Kelayakan ACL: Pertemuan JDT-Bengaluru Dijangka Sengit

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 9:44 PM

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim, Bojan Hodak memberi arahan kepada Amirul Hadi Zainal pada sesi latihan di Padang Seri Gelam , Johor Baharu di Johor Bahru, Selasa. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Pertemuan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Bengaluru FC dari India dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam Rabu, menjanjikan saingan sengit.

Selaku juara liga di negara masing-masing, kedua-dua pasukan berkenaan sudah pasti menampilkan prestasi terbaik bagi mencerahkan peluang beraksi pada kejohanan berkenaan.

Jurulatih JDT Bojan Hodak berkata wakil dari India itu merupakan sebuah pasukan hebat kerana dibarisi pemain yang mempunyai kekuatan fizikal mantap.

Beliau, bagaimanapun berkata skuad Harimau Selatan kini berada pada prestasi terbaik selepas merangkul kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah, dengan menewaskan juara Piala FA dan Piala Malaysia, Pahang di stadium berkenaan, Sabtu lepas.

"Saya tahu, berdepan Bengaluru bukan tugas yang mudah tetapi kami tekad memberikan aksi terbaik.

"Pada masa ini, pemain mempunyai semangat yang tinggi selepas menewaskan Pahang dan saya yakin mereka akan meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan malam esok," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Malah, Hodak berkata JDT juga memiliki kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri, sambil yakin bahawa kesemua pemain mampu beraksi pada prestasi sebenar kerana tidak berdepan sebarang tekanan.

Mengenai ketiadaan pemain import, Luciano Figueroa yang mengalami kecederaan, Hodak berkata ia bukan masalah yang besar kerana beberapa pemain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain dari Argentina itu.

"Kita ada ramai pemain hebat. Kita ada Safiq Rahim dan Chanturu (S. Chanturu). Mohd Amri Yahyah dan Safee Sali yang sebelum ini direhatkan juga sudah kembali menjalani latihan semalam," katanya.

Sementara itu, jurulatih Bengaluru FC Ashley Westwood berkata, pasukannya mempunyai kelebihan tersendiri walaupun mengakui bakal berdepan tugas sukar, kerana bukan sahaja perlu mengekang asakan pemain JDT, tetapi sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang dijangka membanjiri stadium.

Beliau berkata, Bengaluru telah membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara Liga India musim 2013/2014 pada penampilan pertama, selain menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak India bulan lepas.

"Saya akui JDT memiliki pemain import hebat dan jurulatih yang berjaya mengangkat reputasi JDT di pentas Asia Tenggara. Namun, pasukan kami juga mempunyai moral tinggi untuk menjadi pasukan dari India pertama layak ke ACL.

"Kami tidak pernah melihat secara langsung corak permainan JDT tetapi kami pernah melihat aksi mereka menerusi rakaman video dan saya rasa untuk menewaskan mereka, kami perlu mempamerkan aksi lebih tersusun di atas padang," katanya.

Pasukan yang menang pada perlawanan kalah mati malam esok, akan mara ke pusingan kelayakan kedua ACL, menentang pasukan Bangkok Glass dari Thailand.

Tags / Kata Kunci: JDT , Bengaluru FC

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan