Liga-M: Zubir Azmi Tekad Bantu Terengganu Julang Trofi

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 3:22 PM

Aksi di peringkat antarabangsa banyak membantu Zubir Azmi (kanan) untuk menjadi pemain yang lebih konsisten.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan Piala AFF Suzuki Disember lalu, Muhammad Zubir Mohd Azmi kembali ke pangkuan pasukan negeri bagi membantu bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.

Dengan aksi konsisten bersama skad Harimua Malaya baru-baru ini, Zubir dijangka akan menjadi antara tunggak utama barisan pemain Terengganu musim ini.

Digelar 'Patrice Evra Asia’, Zubir bertekad mahu membantu pasukannya menjulang sekurang-kurang satu trofi musim ini.

"Saya akui persembahan di peringkat kebangsaan telah banyak membantu dalam memberi lebih keyakinan dan mengubah corak permainan saya.

"Saya lebih yakin, lebih positif sekaligus memberi semangat baharu untuk membantu pasukan memenangi lebih banyak perlawanan Liga-M, lebih-lebih lagi dalam aksi Liga Super musim ini.

"Saya juga beryukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan yang membolehkan saya menjalani latihan dengan  lancar.

"Jauh di sudut hati saya tahun ini berharap agar saya mahu membantu pasukan untuk meraih sekurang-kurang satu trofi musim ini," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Dalam itu, Zubir,24, mengakui saingan Liga Malaysia musim ini tidak mudah kerana semua pasukan mahukan yang terbaik.

"Saya pasti laluan kami untuk ke peringkat yang lebih tinggi sangat sengit kerana semua negeri atau kelab meletakkan barisan pemain-pemain handal.

"Namun itu tidak melemahkan semangat pasukan saya memandangkan kami sendiri telah menjalani persiapan rapi dari segi mental dan fizikal," tambah Zubir yang mengakui pasukan JDT antara saingan utama musim ini.

Terengganu bakal membuka perlawanan pertama Liga Super pada 7 Februari ini bertemu Selangor di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, 8.45 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan