Hukuman Lebih Berat Kepada Pemain Tandatangani Dua Kontrak

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 3:14 PM

Gary digantung tiga bulan atas kesalahan menandatangani dua kontrak pada satu-satu masa.

(Ubah saiz teks)

MARAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemain yang menandatangani dua kontrak dalam satu-satu masa, bagi mengelakkan insiden membabitkan bekas pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat berulang pada masa depan.

Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ia termasuk menggantung pemain yang terlibat daripada bermain selama satu musim.

"Pemain bola sepak mestilah bertanggungjawab dan menghormati kontrak yang ditandatangani, jangan berdolak-dalik," titah baginda dalam sidang media pada program Gotong-Royong Diraja Membaiki Rumah-Rumah Rakyat Daerah Maran dan Bera di sini Rabu.

Tengku Abdullah juga menasihatkan semua pemain bola sepak, termasuk mereka yang berhasrat menjadi pemain profesional supaya mengambil iktibar daripada insiden membabitkan Gary.

Kontroversi membabitkan Gary bermula selepas dia menandatangani kontrak bersama Pahang sebelum membuat keputusan untuk menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut menuntut khidmat pemain tengah kebangsaan terbabit dengan alasan Gary yang berasal dari Kulim, Kedah itu perlu menyertai pasukan negeri kelahirannya selepas tidak lagi mewakili Harimau Muda.

Akibat tindakannya itu, Gary digantung tiga bulan daripada menyertai apa sahaja kejohanan di bawah FAM berkuat kuasa serta merta dan didenda RM50,000 kerana tindakannya yang bercanggah dengan Artikel 17- Peraturan Status dan Perpindahan.

Tags / Kata Kunci: Gary Steven Robbat , FAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan