PBSNT Sambut Baik Usaha Kerajaan Negeri Lantik Pakar Psikologi

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2015 3:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyambut baik langkah kerajaan negeri melantik pakar psikologi bagi membantu pemain skuad Terengganu dan T-Team untuk meningkatkan tahap mental serta emosi mereka mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, usaha kerajaan negeri itu menggambarkan bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk menaikkan imej bola sepak negeri ke persada negara.

"Kita merakamkan ucapan terima kasih kerana nampak kesungguhan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mahu terus menaikkan sukan negeri," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurut laporan akhbar, kerajaan negeri akan melantik pakar psikologi bagi membantu pemain skuad Terengganu dan T-Team meningkatkan tahap mental serta emosi, selaras dengan agenda transformasi sukan bola sepak negeri  Terengganu.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata beliau difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat akan mencari pakar berkenaan.

"Pakar ini bukan untuk bola sepak sahaja, tetapi sukan-sukan yang lain juga akan mendapat khidmat itu," katanya.

Justeru Wan Ahmad Nizam berkata, kerajaan negeri mungkin akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi mencari pakar berkenaan bagi merealisasikan impian itu.

Pihaknya percaya perancangan kerajaan ini memberi kesan positif kepada perkembangan bola sepak di negeri ini, sekali gus diharap dapat memenangi satu daripada piala musim ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Terengganu akan mengadakan beberapa perlawanan pramusim bersama Selangor dan Negeri Sembilan sebagai persiapan terakhir sebelum tirai Liga M dibuka pada 7 Februari ini.

Tags / Kata Kunci: Terengganu , pakar psikologi , Liga M

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan