Isu Tunggakan Gaji Pemain Perlis Selesai - Bola Sepak | mStar

Isu Tunggakan Gaji Pemain Perlis Selesai

Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2015 2:56 PM

Bekas kapten Perlis, Khairi Zainuddin (dua kiri) bersalaman dengan Rozabil sambil diperhatikan oleh Hamidin (kiri) dan Takiyuddin sebaik sahaja isu tunggakan gaji selesai.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemain-pemain Perlis yang terlibat dengan isu tunggakan gaji dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sejak Jun lalu akhirnya boleh menarik nafas lega apabila kes tersebut dianggap selesai sepenuhnya pada Rabu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan isu tunggakan gaji ini sudah berakhir.

Bagaimana pun Hamidin yang mewakili FAM ketika perbincangan khas di antara pemain-pemain, Presiden PFA Datuk Rozabil Abdul Rahman serta ahli exco persatuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail enggan mendedahkan lebih lanjut isi perbincangan itu.

"Perkara ini telah selesai dan kedua-dua pihak (pemain-pemain dan PFA) telah mencapai persetujuan dan berpuas hati.

"Di atas persetujuan bersama juga, kita tidak akan mendedahkan jumlah pampasan yang akan dibayar.

"Apa yang penting isu ini tamat dan kedua-dua pihak memberi komitmed yang tinggi. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat," jelasnya kepada media.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan mempengerusikan perbincangan tersebut yang dihadiri sebelas orang pemain, manakala pemain import menggunakan wakil.

"Pemain import setuju untuk menerima tawaran bayaran penyelesaian, dua lagi pemain yang mengalami kecederaan di peringkat awal musim Fazuan Abdullah dan Mohd Arfan Rashid akan dibayar oleh Perkeso.

"Manakala sembilan lagi pemain akan dibayar dengan jumlah yang dipersetujui oleh semua pihak," jelas Takiyuddin.

Sementara itu, Rozabil menjelaskan bayaran kepada pemain akan dibuat secepat mungkin.

"Dana bayaran ini adalah dari poket saya sendiri dan saya telah berbincang dengan Datuk Hamidin dengan persetujuan semua pemain bahawa bayaran akan dibuat melalui FAM.

"Jadi semua pemain tidak perlulah risau nak datang ke PFA," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Perlis , Bola Sepak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan