Misi Berat Malaysia Pada Aksi Timbal Balik Sabtu Ini

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 1:29 PM

Pemain Harimau Malaya murung selepas kecundang pada perlawanan final pertama menentang Thailand di Bangkok pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Final pertama kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2014 di antara Thailand dan Malaysia di sini, malam Khamis menyerlahkan banyak kelemahan ketara yang perlu diperbaiki skuad Harimau Malaya menjelang aksi timbal balik, Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Kekalahan 0-2 kepada skuad Gajah Perang kendalian bekas pemain antarabangsa Thailand, Kiatisuk Senamuang, di Stadium Nasional Rajamangala seperti menyukarkan peluang Harimau Malaya untuk muncul juara buat kali kedua selepas 2010.

Dua gol Thailand dihasilkan pada perlawanan itu dijaringkan oleh penyerang kelahiran Switzerland, Charyl Yannic Chappuis menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 dan pemain tengah, Thawikan Kroekrit pada minit ke-82.

Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki buat pertama kalinya pada 2010 ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal, selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia menerusi format timbal balik.

Banyak faktor yang dikaitkan dengan kekalahan perlawanan semalam, yang disaksikan hampir 48,000 penyokong termasuk 1,500 penyokong Malaysia yang sanggup datang ke kota raya ini untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

Antara faktor kelemahan yang dikenal pasti ialah tiadanya komunikasi antara bahagian pertahanan dengan penjaga gol skuad negara, Mohd Farizal Marlias terutamanya pada babak kedua sehingga memudahkan jentera serangan pihak lawan mudah mencuri bola dan melakukan percubaan berbahaya.

Selain itu, bahagian tengah negara yang diketuai oleh Safiq Rahim seolah-olah hilang punca kerana sering dibayangi oleh corak permainan pantas  pemain tengah Thailand bertubuh kecil, Chanathip Songkrasin yang menjadi nadi penggerak pasukan tuan rumah itu.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh, sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan tidak mustahil skuad negara kembali bangkit mencatatkan kemenangan pada aksi timbal balik nanti.

Buktinya, skuad negara kalah 2-1 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lepas sebelum bangkit melakar kemenangan 4-2 pada aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, empat hari kemudian untuk mara ke final dengan kemenangan agregat 5-4.

Penyerang veteran skuad negara, Mohd Safee Mohd Sali yang ditemui pemberita selepas perlawanan itu turut senada bahawa tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan yakin skuad Harimau Malaya kembali 'mengaum' pada aksi timbal balik, Sabtu ini.

"Seperti apa pernah jurulatih katakan sebelum ini, jika Thailand boleh melakukan di halaman sendiri, kenapa tidak kami? Bagi saya, ia tidak mustahil.

"Kalau kita bermain sebagai satu pasukan, mustahil Thailand dapat menembusi pintu gol kita," jelas penyerang kelab Johor Darul Ta'zim itu.

Berkongsi nada yang sama ialah kapten skuad kebangsaan, Muhammad Shukor Adan yang mengharapkan penyokong bola sepak negara dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan misi 2010 dapat diulangi.

"Penyokong mengharapkan sesuatu pada perlawanan ini dan kami gagal, jadi kami harap penyokong dapat terus memberikan sokongan moral kepada pasukan pada aksi kedua nanti.

"Dengan sokongan moral para penyokong, Insya-Allah, kita akan cuba beri persembahan yang terbaik," jelas kapten kelab Felda United FC itu.

Sehubungan itu, sokongan padu puluhan ribu penyokong skuad Harimau Malaya amat ditagih pada aksi timbal balik bagi memastikan kejayaan 2010 dapat diulangi. - Bernama

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan