Skuad Tok Gajah Kekal Barisan Pemain Sama - Bola Sepak | mStar

Skuad Tok Gajah Kekal Barisan Pemain Sama

Diterbitkan: Jumaat, 5 Disember 2014 10:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pahang, selaku juara treble musim ini, telah mengekalkan barisan pemain sama termasuk ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan dan empat pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Selain pemain dan jurulatih, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) juga mengekalkan semua pegawai pengurusan pasukan serta mengambil empat pemain baharu termasuk dua daripada skuad kebangsaan, Harimau Muda A.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, dua pemain skuad kebangsaan tersebut ialah pemain tengah Gary Steven Robbat dan D. Saarvindran serta bekas pertahanan Kelantan, Mohammad Ab Aziz Ismail dan pemain tengah Mohd Rizua Safiqi Kamaruzaman daripada pasukan Kuantan FA.

"Dalam masa yang sama, pemain tengah Pahang, Abdul Malik Mat Arif telah dipinjamkan kepada Kuantan FA yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Katanya, empat pemain import iaitu Damion Delano Stewart, Matias Ruben Conti, Dickson Nwakaeme dan Zeshan Rehman juga telah mengesahkan tempat untuk terus berkhidmat dalam skuad Tok Gajah musim depan.

Dalam pada itu, beliau turut menolak perkhabaran bahawa pemain tengah Mohd Faizol Hussain akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi musim hadapan.  

Fuzzeimi berkata, pemain berusia 27 tahun itu telah menandatangani perjanjian selaku pemain Pahang bermula 1 Disember 2013 hingga 30 November 2015, melainkan mendapat kebenaran PBNP untuk menamatkan kontrak tersebut.

Dalam saingan musim ini, Pahang merangkul Piala Sumbangsih, Piala FA serta mempertahankan Piala Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan