KBS, FAM Akan Nilai Status Padang Stadium Bukit Jalil - Khairy

Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 10:24 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan dan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menilai status padang bola sepak Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini sama ada lokasi itu boleh digunakan untuk separuh akhir Piala AFF Suzuki.

"Pilihan di tangan FAM. Stadium Shah Alam pun sudah bersedia. Keputusan akan dibuat tidak lama lagi," kata menterinya Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota Parlimen Belia di sini Ahad.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya ke peringkat separuh akhir piala tersebut selepas menewaskan Singapura 3-1 malam tadi di Stadium Nasional Kallang Singapura. 

Sebelum ini dilaporkan, KBS memutuskan untuk membaik pulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil susulan kerosakan yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 November lepas.

Pada peringkat separuh akhir awal Disember ini, Malaysia akan bertemu juara Kumpulan A, Vietnam manakala Thailand yang merupakan juara tiga kali, bakal membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Filipina. 

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Disember ini.

Menyentuh mengenai isu doping pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Khairy berkata peguam yang dilantik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menghantar surat kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meminta perbicaraan kes itu ditunda.

Beliau berkata, ini adalah kerana pihak peguam memerlukan masa untuk menyediakan kes ini dengan lebih terperinci selepas BAM dimaklumkan bahawa tarikh pendengaran dijadualkan pada 8 Disember ini di Amsterdam. 

Chong Wei kini digantung sementara waktu oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan