Norshahrul Masih Ada Sentuhan Jaringan - Dollah

Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2014 10:13 PM

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menjawab soalan pemberita pada sidang media sebelum perlawanan penentuan Malaysia menentang Singapura Piala AFF Suzuki 2014 di Tanjong Pagar di sini hari ini. Singapura bakal menentang skuad negara pada aksi kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura esok. -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh, percaya penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha akan menemui semula sentuhan jaringan dalam aksi penting berdepan Singapura pada saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional di sini, esok.

Beliau yakin penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mampu menamatkan kemarau gol apabila berdepan pasukan tuan rumah walaupun beliau kurang berpuas hati dengan prestasi pemain berkenaan dalam dua perlawanan menentang Myanmar dan Thailand sebelum ini.
 
"Beliau (Norshahrul) tidak biasa dengan padang tiruan di Stadium Jalan Besar dalam dua perlawanan sebelum ini tetapi saya yakin dia akan mencipta sesuatu esok," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di sini, hari ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui Singapura sebuah pasukan yang kuat walaupun mereka kehilangan tiga tonggak utama - Shahdan Sulaiman dan Ismadi Mukhtar, masing-masing akibat kecederaan serta Baihakki Khaizan yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.
 
"Perlawanan esok pastinya bukan mudah buat kita kerana pasukan lawan sudah tentu mendapat sokongan padu penyokong mereka. Namun, kita akan menampilkan permainan terbaik berdepan Singapura," katanya.

Seorang lagi penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali, pula menyifatkan Singapura bukanlah pasukan yang mudah ditundukkan namun, yakin mereka mampu melakukan sesuatu esok.
 
"Kita (Malaysia dan Singapura) mengenali corak permainan masing-masing, cuma siapa yang melakukan kesilapan akan dihukum dan saya berharap rakan sepasukan dapat membantu saya menjaringkan gol pada perlawanan itu nanti," kata penyerang JDT itu.

Berkongsi pandangan sama ialah pemain tengah, Gary Steven Robbat yang bertekad membantu skuad negara meraih kemenangan jika disenarai oleh Dollah pada perlawanan esok.

Pemain skuad Harimau Muda A (Bawah 23) negara itu yang kembali daripada penggantungan satu perlawanan, yakin peluang skuad negara ke separuh akhir masih terbuka, namun mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak lalai.
 
"Perlawanan ini memang penting, jadi kita harap dapat raih tiga mata penuh. Kita perlu ambil perhatian terhadap sepakan percuma mereka yang cukup berbahaya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Singapura Bernd Stange mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah cabaran skuad Harimau Malaysia walaupun pasukan berkenaan mempamerkan prestasi tidak konsisten dalam dua perlawanan sebelum ini.

Jurulatih berusia 66 tahun dari Jerman itu berkata perlawanan dengan Malaysia sangat penting kerana masing-masing memburu satu lagi slot ke separuh akhir dalam kumpulan berkenaan.
 
"Saya berharap penyokong Singapura akan membanjiri stadium bagi memberi sokongan kepada kami dan saya tidak sabar menanti perlawanan esok.
 
"Saya berharap pemain dapat memberi yang terbaik di hadapan penonton sendiri. Kami dibarisi pemain-pemain muda dan saya berharap mereka dapat menampilkan permainan terbaik esok," katanya.

Malaysia tiada pilihan selain kemenangan untuk layak ke separuh akhir, manakala Singapura hanya memerlukan seri untuk mara ke peringkat tersebut, pada perlawanan esok.

Thailand yang sudah menempah tempat ke separuh akhir akan berdepan pasukan di tangga terbawah, Myanmar pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Jalan Besar.

Tags / Kata Kunci: Norshahrul , Dollah Salleh , Piala AFF Suzuki

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan