Perlawanan England-Scotland Dijangka 'Menakutkan'

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 12:40 PM

Stadium Celtic Park yang bakal dibanjiri penyokong tegar England dan Scotland pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

KETUA pasukan bola sepak England mengingatkan rakan sepasukannya supaya bersedia menghadapi tentangan hebat di Celtic Park pada Selasa apabila berhadapan Scotland dalam perlawanan persahabatan untuk pertama kali sejak lebih 25 tahun.

Wayne Rooney yang berpengalaman bermain di stadium berkenaan berkata, dia bersedia dari segi mental untuk berhadapan situasi hingar bingar, selain gelagat penyokong tuan rumah yang begitu bersemangat.

"Saya sudah beberapa kali bermain di stadium itu dan sebaik perlawanan bermula, penyokong mereka akan mula memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.

"Suasananya agak menakutkan jika tidak biasa dengan situasi itu, sebab itu saya ingatkan semua pemain supaya bersedia, terutama pemain baharu," katanya sekadar berkongsi pengalamannya dengan rakan sepasukan bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi hebat dalam perlawanan itu nanti.

Seperti pengurusnya, Roy Hodgson, Rooney berkata, persaingan sengit antara kedua negara itu tidak membawa sebarang makna kepada generasi baharu pemain kerana separuh daripada skuad dilahirkan selepas pemansuhan pelawanan persahabatan tradisi antara England dan Scotland yang kali terakhir diadakan pada 1989.

"Saya rasa perlawanan kali ini tidak sama seperti mana yang berlaku 20 tahun lalu. Dahulu ketika dipadang semuanya bermain mengikut peraturan yang ditetapkan di mana pengurus pasukan akan memberi arahan ," katanya.

Pemain Manchester United itu juga menganggap sejarah antara kedua negara itu berbeza sama sekali berbanding perlawanan menentang pasukan negara lain.

Malahan, Hodgson juga menganggap pertembungan kedua pasukan kali ini bukan sekadar perlawanan persahabatan, tetapi lebih daripada itu.

Sementara itu, risikan polis menjangkakan kira-kira 5,000 penyokong tegar England akan ke Glasgow untuk menyokong pasukan mereka.

Malahan, maklumat juga diterima mengenai kemungkinan berlaku kekecohan yang bakal dicetuskan penyokong kedua-dua pasukan terbabit.

"Kami sedang memantau rapi pihak yang dikenal pasti mungkin mencetuskan huru hara menjelang perlawanan persahabatan itu nanti," kata komander perlawanan antarabangsa, Ketua Superintendan Andy Bates.







Tags / Kata Kunci: Wayne Rooney , England , Celtic Park

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan