Malaysia Diaibkan Syria 3-0

Diterbitkan: Rabu, 12 November 2014 11:11 PM

Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) bersaingan dengan pemain Syria, Abdul Razak Al Husein (kanan) pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam. -foto GLENN GUAN/The Star

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi hambar selepas diaibkan dengan kekalahan 3-0 kepada Syria yang hanya membariskan skuad bawah 23 (B-23) pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kekalahan itu merupakan yang ketiga dicatatkan skuad kendalian Dollah Salleh yang sebelum ini tewas dalam dua aksi persahabatan terdahulu.

Mereka kalah 4-1 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos selain kecundang 2-0 kepada Indonesia pada 14 September lepas di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia.

Skuad Harimau Malaya hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 September lepas.

Pada aksi malam ini, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang agak perlahan pada babak awal separuh masa berikutan hujan lebat namun nasib lebih menyebelahi Syria yang membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan 'voli' daripada luar kotak penalti oleh Nadim Sabag.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara kembali memperkemas jentera serangan bagi mencari gol penyamaan namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Syria dan keputusan itu kekal sehingga separuh masa perlawanan.

Bersambung babak kedua, skuad negara melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol penyamaan namun pasukan Syria yang sebaliknya menggandakan jaringan hasil sentuhan penyudah kapten, Sanharib Malki pada minit ke-47.

Kesilapan barisan pertahanan negara yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan penalti negara dimanfaatkan oleh pasukan Syria yang menambah gol ketiga menerusi tandukan Omar Khrbin pada minit ke-66.

Malaysia akan menentang Vietnam pada aksi terakhir perlawanan persahabatan di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, Ahad ini.

Perlawanan berkenaan adalah sebagai persiapan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum beraksi pada Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dari 23 hingga 29 November ini di Singapura.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan berdepan Myanmar pada 23 Nov diikuti pertemuan dengan Thailand pada 26 Nov dan kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Singapura di Stadium Nasional Singapore Sports Hub pada 29 November.

Vietnam yang menjadi tuan rumah bersama, akan mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Filipina, Indonesia dan Laos.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan